Utama Berita Automotif Mazda CX-5 2026 laku keras di Jepun, tempahan di Malaysia sudah dibuka!

Mazda CX-5 2026 laku keras di Jepun, tempahan di Malaysia sudah dibuka!

6

Mazda CX-5 baharu menerima sambutan yang sangat memberangsangkan di Jepun apabila jumlah tempahan terkumpul melepasi 10,000 unit setakat 21 Jun lalu.

Angka tersebut dicapai kira-kira sebulan selepas model itu dilancarkan pada 21 Mei 2026, sekali gus melebihi lima kali ganda sasaran jualan bulanan yang ditetapkan pada 2,000 unit.

Bukan sahaja di Jepun, CX-5 turut digemari di pasaran tempatan seperti yang ditunjukkan sejak generasi pertama.

CX-5 generasi ketiga dibangunkan berasaskan konsep pembangunan New Generation Emotional Daily Comfort dengan penekanan terhadap keperluan pelanggan dalam penggunaan harian.

Model terbaharu mengekalkan identiti dan daya tarikan CX-5 terdahulu sambil menerima beberapa pembaharuan penting.

Antara perubahan utama termasuklah pengenalan skrin sentuh paparan tengah yang bersaiz lebih besar.

Selain itu, ia menawarkan keseimbangan dinamik antara reka bentuk sporty dengan ruang kabin yang lebih selesa.

Model ini turut menampilkan prestasi pemanduan yang lebih tangkas serta peningkatan menyeluruh dari aspek keselamatan.

Ruang Kabin dan Praktikaliti Dipertingkat

Menurut Mazda, CX-5 baharu menarik minat pelbagai kelompok pelanggan daripada golongan muda sehingga warga emas.

Antara aspek yang menerima maklum balas positif ialah ruang tempat duduk belakang yang lebih luas dan selesa, sekali gus menjadikannya lebih sesuai untuk aktiviti rekreasi termasuk tidur di dalam kenderaan.

Pelanggan turut menghargai bukaan pintu yang lebih besar bagi memudahkan pemasangan dan pengeluaran kerusi kanak-kanak.

Paparan bersaiz besar serta sistem antara muka manusia-mesin (HMI) terkini turut meningkatkan pengalaman penggunaan harian.

Varian L Dan Rhodium White Paling Popular

Daripada keseluruhan tempahan yang diterima, varian tertinggi L menyumbang sebanyak 65 peratus, diikuti varian G sebanyak 32 peratus dan varian asas S sebanyak tiga peratus.

Bagi pilihan dalaman, kemasan Sport Tan muncul sebagai pilihan utama apabila mewakili kira-kira 40 peratus daripada tempahan varian L.

Untuk warna luaran pula, Rhodium White Premium Metallic menjadi pilihan paling popular dengan perkongsian sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan tempahan.

Warna khas tersebut dibangunkan menggunakan teknologi cat Takuminuri milik Mazda yang direka untuk menghasilkan kemasan setanding hasil kerja tangan tukang mahir dalam proses pengeluaran besar-besaran.

Sistem Hibrid Ringan e-SKYACTIV G 2.5

Di Jepun, CX-5 baharu ditawarkan dengan rangkaian kuasa hibrid ringan e-SKYACTIV G 2.5 yang menggabungkan enjin petrol empat silinder 2.5 liter suntikan terus bersama motor elektrik.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 178PS dan tork 237Nm, manakala motor elektrik menyumbang tambahan 6.5PS serta 60.5Nm.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik enam kelajuan SKYACTIV-DRIVE dengan pilihan sistem pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD).

Bagi pasaran Jepun, varian 2WD menawarkan kecekapan bahan api sehingga 15.2km/L, manakala model 4WD mencatat 14.2km/L berdasarkan kitaran ujian WLTC.

Tempahan Sudah Dibuka Di Malaysia

Di Malaysia, Bermaz Mazda telah membuka tempahan untuk CX-5 baharu di semua bilik pameran Mazda sah di seluruh negara sejak 12 Jun lalu.

Setakat ini, spesifikasi rasmi model yang bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan.

Bagaimanapun, pengunjung Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 sebelum ini berpeluang melihat dan memandu uji Mazda CX-5 2.5L sepanjang acara berlangsung.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here