
ZX Moto merupakan sebuah jenama motosikal China baharu yang diasaskan oleh Zhang Xue, orang yang sama memulakan jenama Kove Moto sebelum membuat keputusan meninggalkan terus projek tersebut.
Di bawah jenama baharu, ZX Moto cuba untuk tampil menguasai secebis pegangan pasaran dengan pengenalan beberapa model baharu.
Salah satu daripadanya ialah jentera kembara 820 X yang banyak diinspirasikan daripada model kembara terkenal seperti V-Strom dan BMW GS.
ZX Moto 820 X ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder 818.8 cc dengan kuasa 117 hp pada 11,000 rpm dan daya kilas 85 Nm pada 9,000 rpm.
Ia menjadikannya sebaris dengan model-model seperti Triumph Tiger 900 dan MV Agusta Enduro Veloce.
Selain itu, 820 X didatangkan dengan casis kerangka keluli, lengan ayun aluminium, rim lidi 19 inci depan/17 inci belakang, dan pelana setinggi 831 mm.
ZX Moto juga cukup serius memastikan 820 X ini mempunyai kelengkapan moden, antaranya ialah sistem pancitan bahan api Bosch, pendikit elektronik serta sistem kabel pendikit sandaran sekiranya tetapan elektronik tersebut mempunyai masalah.
































