
Mungkin tidak ramai yang tahu tentang jenama ZXJC, sebuah lagi jenama motosikal yang datang dari Tanah Besar China.
Jenama ZXJC kini dimiliki oleh Zhang Xue, dulunya merupakan pengasas bagi jenama Kove.
ZXJC sebelum ini telah melancarkan sportbike 500RR yang dikuasakan oleh enjin empat silinder 82 hp dan 46 Nm.
Menurut laporan terkini, jenama itu akan melancarkan sebuah lagi model baharu yang dikenali sebagai 820RR, atau kod dalaman Project 299.

Antara perincian yang wujud pada jentera itu termasuklah kerangka aluminium ringan dengan berat kering 168 kg, suspensi boleh laras sepenuhnya, serta enjin tiga silinder berkuasa 150 hp.
Enjin itu dikatakan mampu mencecah putaran enjin 15,250 rpm, dan dibantu dengan sistem pengukuran inersia enam paksi (IMU) untuk fungsi seperti kawalan cengkaman selekoh dan cornering ABS.
Nadi tiga silinder kini menjadi pilihan yang popular di kalangan jenama motosikal China, seperti CFMoto dengan model 675SS dan 675NK, serta Zontes dengan model 703RR, 703F, 703R dan 703T.