
Awal tahun yang lalu, syarikat kerjasama Sundiro Honda memperkenalkan model baharu NS150GX yang dibina berdasarkan model skuter terkenal PCX untuk pasaran China.
Kini, sebuah lagi model skuter baharu dilancarkan oleh sebuah lagi syarikat kerjasama Honda di sana, iaitu Wuyang Honda.
Lebih dikenali sebagai NWG150, ia merupakan sebuah skuter kembara bandar yang membawakan rekaan yang lebih bersegi, dengan tinggi pelana sekitar 764 mm.
Honda NWG150 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 154 cc sejukan cecair menghasilkan 15.4 PS pada putaran enjin 8,500 rpm.
Antara ciri standard yang ada pada NWG150 ini termasuklah skrin paparan TFT lengkap dengan sokongan Bluetooth, ABS, brek cakera depan dan belakang, serta larasan pra-beban untuk penyerap hentak belakang.
Selain itu, terdapat sistem kekunci pintar NFC dan fungsi nyahkunci menggunakan aplikasi peranti pintar.
Terdapat juga varian Touring yang menambah kelengkapan baharu seperti sistem pemantauan tekanan tayar, pemanas grip bar hendal, serta ciri unik pemanas untuk skrin penghadang angin.
Di China, Honda NWG150 ini dijual pada harga bermula 16,980 yuan (RM10,069) atau 17,980 yuan (RM10,662) untuk versi Touring.