Menteri : Kalau naik kapal terbang boleh pakai tali pinggang keledar, kenapa naik bas tak boleh?

13

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mempertahankan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Ops Pemakaian Tali Pinggang Keledar terhadap bas ekspres dan bas persiaran dalam usaha membudayakan kepatuhan penumpang terhadap aspek keselamatan.

Beliau berkata, operasi itu bukan bersifat bermusim atau sekadar ops khas sebaliknya penguatkuasaan itu akan dilakukan sepanjang masa dan berterusan.

Menurutnya, ketika ini teknik penyamaran penguatkuasa JPJ dilihat berkesan dalam mengenalpasti pengguna dan pemandu bas yang ingkar terhadap peraturan tersebut.

“Pendekatan kita setakat ini berkesan dan mahu mengingatkan penumpang yang pakai tali pinggang bukan kerana takut disaman tetapi untuk kebaikan dan keselamatan mereka, sekali gus membudayakan pemakaian tali pinggang keledar.

“Pada peringkat awal kaedah ini perlu dilakukan kerana kalau berpakaian uniform, kita sukar untuk memastikan penumpang patuh atau tidak,” katanya.

Mengulas berhubung ‘sindiran’ warga maya yang mendakwa langkah diambil itu tidak menyelesaikan masalah isu bas secara keseluruhan beliau berkata, langkah itu merupakan salah satu permulaan yang akan disusuli dengan beberapa tindakan lain.

“Kemalangan bas berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor dan salah satunya adalah kegagalan penumpang memakai tali pinggang keledar. Ada kes kematian disebabkan penumpang yang tercampak keluar dari bas ketika kemalangan disebabkan perkara ini.

“Selain tali pinggang keledar, sudah tentu ada pelbagai langkah dan usaha lain akan dilakukan untuk keselamatan pengguna jalan raya,” jelasnya. 

Namun, beliau menegaskan peraturan pemakaian tali pinggang keledar bukan perkara baharu sebaliknya turut terpakai kepada penumpang kereta di tempat duduk belakang serta ketika dalam pesawat.

“Kita naik kapal terbang semua ikut arahan pakai tali pinggang keledar. Tak ada siapa pertikai sebab sudah jadi budaya keselamatan. Kalau naik kapal terbang boleh, kenapa naik bas tak boleh?.

“Naik bas atau kapal terbang kedua-duanya ada risiko kemalangan. Jadi, langkah keselamatan yang sama perlu diamalkan,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here