Isteri jalan kaki dua kilometer temui suami ditahan merempit

11

Seorang wanita sanggup berjalan kaki sejuah lebih 2km selepas dimaklumkan suaminya ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Persiaran Raja Muda Musa di Klang, pada Ahad.

Wanita itu yang baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga mendakwa bergegas keluar dari rumah yang terletak di kawasan Pandamaran selepas suaminya memberitahu ditahan pihak berkuasa.

Dakwanya, dia terpaksa berjalan kaki ke lokasi suaminya ditahan kerana tiada kenderaan lain.

Wanita berusia lingkungan 20-an itu menyatakan sudah beberapa kali menasihatkan suami agar tidak terlibat dalam kegiatan samseng jalanan, namun tidak diendahkan.

Operasi membanteras samseng jalanan itu melibatkan lebih 100 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Tindakan pantas pihak berkuasa menutup dua persimpangan utama serta beberapa lorong tikus di sekitar kawasan itu berjaya menyekat cubaan penunggang motosikal meloloskan diri.

Malah, ada antara mereka sanggup mempertaruhkan nyawa dengan memecut melawan arus dan menunggang secara melulu semata-mata mahu mengelak daripada ditahan.

Dalam operasi sama, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut dicekup selepas dipercayai melakukan pelbagai aksi berbahaya di jalan raya.

Remaja itu mendakwa meminjam motosikal milik bapanya secara senyap semata-mata mahu menunjukkan kehebatan menunggang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan pihaknya sejak tiga minggu lalu.

Beliau berkata, sebanyak 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi dijalankan.

“Sebanyak 23 kes melibatkan cukai jalan tamat tempoh, dua kes melibatkan penunggang bawah umur, 33 kes tiada nombor pendaftaran, lapan kes ubah suai ekzos dan empat kes ubah suai struktur motosikal dikesan.

“Turut direkodkan, 13 kesalahan tiada cermin sisi, sembilan kes tiada lesen memandu, dua kes brek tidak berfungsi dan satu kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar,” katanya.

Sebanyak 33 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan tujuh tangkapan, manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 108(3) akta sama.

Menurut beliau, kesemua individu yang diperiksa dan ditahan berusia antara 14 hingga 39 tahun.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here