Berselindung di sebalik pemandu e hailing, Polis Kelantan tumpas sindiket dadah RM3.1 juta

229

Polis Kelantan berjaya menumpaskan dalang sindiket jualan dadah selepas membongkar taktik suami isteri yang berselindung di sebalik perniagaan ayam segar dan menjadi pemandu e-hailing.

Dadah bernilai RM3.1 juta itu dirampas bersama pasangan berusia 31 dan 49 tahun yang ditahan pada jam 4 pagi di Jalan Padang Sembilan, Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Kuala Krai pada Jumaat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka ditahan ketika menaiki Proton X70 dan hasil pemeriksaan telah menjumpai bungkusan plastik berisi tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 60.8kg.

“Turut ditemui ialah ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 6.95kg serta peket plastik lutsinar mengandungi 150 biji pil yaba.

“Kami juga merampas satu kerambit berhulu kayu dengan panjang lebih kurang 15cm,” katanya. 

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan pertama itu ialah RM2.37 juta.

Mohd Yusoff memberitahu, ekoran tangkapan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penemuan barang kes kedua pada hari sama, jam 3.30 petang.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Merbau Utama, Selising menemukan kotak yang diletakkan di atas lantai hadapan rumah dan di dalam sebuah Nissan X-Trail.

Tambah beliau, turut ditemui bungkusan plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat kasar 11.16kg.

“Turut ditemui ialah tumbuhan kering mampat disyaki ganja seberat 9kg di dalam kotak-kotak berwarna merah.

“Kami juga menemui beg plastik hitam yang mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki ganja seberat 2kg,” katanya.

Mohd Yusoff memberitahu, nilai keseluruhan rampasan kedua ialah RM775,600.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menyita wang tunai RM2,422 dan barangan kemas dengan jumlah keseluruhan RM58,422.

Dipercayai dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran dan Kelantan menjadi transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur untuk dipasarkan ke luar negara.

“Lelaki terbabit positif methamphetamine manakala wanita negatif air kencing. Mereka berdua mempunyai dua kesalahan lampau berkait kes narkotik,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here