
Seekor tapir jantan yang sering kelihatan di Taman Agroteknologi MARDI Cherating mati selepas dirempuh sebuah MPV di KM35 Jalan Kuantan-Kemaman di Kuantan, tengah malam Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata kemalangan kira-kira 12.10 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika haiwan berkenaan sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun.
“Pemandu kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bangkai tapir yang dianggarkan melebihi 120kg itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Badrol Hisham Mohamad, 44, yang merupakan antara individu terawal berada di lokasi kemalangan berkata beliau terus menghubungi polis dan Perhilitan supaya tindakan segera dapat diambil.
“Tapir berkenaan dipercayai dirempuh kereta yang dinaiki sekeluarga dari arah Kemaman menghala ke Kuantan berdekatan Taman Agroteknologi MARDI Cherating.
“Ketika kejadian terdapat orang awam yang memberhentikan kenderaan dan membantu mengawal lalu lintas kerana kedudukan tapir berada di tengah jalan dengan keadaan gelap dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya yang merupakan penduduk Kampung Sungai Ular.
Taman Agroteknologi MARDI Cherating dalam hantaran di laman Facebook turut berkongsi kisah duka mengenai tapir itu yang merupakan antara keunikan taman berkenaan.
“Hilanglah antara keunikan di Taman Agroteknologi MARDI Cherating dan kehilangan besar buat pencinta haiwan ini.
“Akhirnya pergi tapir yang biasa menyerikan Taman Agroteknologi MARDI Cherating. Tapir ini merupakan haiwan terlindung namun biasa ditemukan mereka yang berkhemah di taman ini,” menurut hantaran itu.