Utama Berita Automotif JPJ sita bas sekolah bawa pelancong secara haram

JPJ sita bas sekolah bawa pelancong secara haram

8

Sebuah bas sekolah dikesan beroperasi secara haram sebagai bas pelancongan dengan membawa pelancong asing yang berkunjung ke Cameron Highlands sejak tiga tahun lalu.

Perkara itu terbongkar menerusi Op Bersepadu Penguatkuasaan Kenderaan Perdagangan, dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Jabatan Imigresen di beberapa lokasi tumpuan pelancong sekitar daerah peranginan tersebut pada Jumaat.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, bas sekolah berkenaan digunakan untuk membawa pelancong dari China dan Singapura, dipandu oleh pemandu tempatan tanpa kelayakan dan dokumen sah.

“Bayangkan, kita baru selesai satu insiden di Genting Highlands melibatkan bas persiaran terbalik hingga mengorbankan pelancong dari China.

“Jika situasi sama berulang, ia memberi kesan buruk kepada industri pelancongan negara,” katanya.

Bas berkenaan disita atas kesalahan beroperasi tanpa lesen pengendali di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 222 serta Seksyen 224 akta sama.

Muhammad Kifli berkata, dalam operasi sama, JPJ turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda yang masih berdaftar atas nama agensi kerajaan.

Katanya, berdasarkan siasatan, kenderaan tersebut digunakan untuk membawa pelancong bagi tujuan mengaut keuntungan.

“Kita akan lakukan siasatan lanjut termasuk merujuk kepada agensi terbabit, bagaimana kenderaan ini boleh digunakan sedemikian.

“Jika terbukti disalah guna, ia pelanggaran undang-undang yang sangat serius,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hasil operasi, sebanyak 48 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 16 daripadanya disita melibatkan 51 notis pelbagai kesalahan serius direkodkan.

Katanya, antara kesalahan utama termasuklah salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), tidak mempunyai LKM dan insurans serta tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Kesalahan-kesalahan ini menimbulkan risiko keselamatan serius kepada pengguna jalan raya lain, memandangkan Cameron Highlands kawasan berkecerunan tinggi, laluan sempit dan padat serta menjadi lokasi tumpuan pelancong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Kifli menambah, daripada 51 pemandu yang diperiksa, 16 daripadanya merupakan warga Bangladesh dan Indonesia dengan kesalahan tertinggi tidak mempunyai lesen sah.

Katanya, JPJ mengambil berat kes penyalahgunaan kenderaan seperti itu dan operasi akan diteruskan setiap minggu bermula minggu ini di Cameron Highlands.

“Kita bukan sahaja akan mengambil tindakan terhadap pemandu, tetapi juga syarikat serta individu yang menggaji pemandu warga asing tanpa kelayakan,” katanya.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here