16 penumpang bas ekspres disaman tidak pakai tali pinggang keledar

74

Seramai 16 penumpang bas ekspres dan bas persiaran dikenakan saman selepas dikesan tidak memakai tali pinggang keledar dalam satu operasi khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah pada petang Selasa.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, operasi penguatkuasaan penuh itu dijalankan bagi memastikan pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan pemandu dan penumpang bas.

Menurutnya, sebanyak 18 bas diperiksa dalam operasi berkenaan yang melibatkan 14 bas ekspres dan empat bas persiaran.

“Dua penumpang bawah umur yang melakukan kesalahan diberi nasihat dan advokasi, manakala 16 penumpang lain dikenakan kompaun sebanyak RM300 setiap seorang,” katanya.

Tambah beliau, JPJ turut menggunakan strategi penyamaran anggota dalam bas bagi mengesan kesalahan secara senyap sebelum kompaun dikeluarkan berdasarkan bukti visual.

“Penguatkuasaan kita bukan hanya terhad kepada sekatan jalan raya atau pemeriksaan di terminal, tetapi juga melalui penyamaran dalam bas.

“Jika ada penumpang atau pemandu tidak memakai tali pinggang keledar, kita akan ambil tindakan berdasarkan bukti yang dirakam,” ujarnya.

Tindakan diambil mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-kanak) 1978 Pindaan 2008.

Stien turut menasihatkan penumpang agar memaklumkan kepada pemandu sekiranya tali pinggang keledar tidak berfungsi sebelum memulakan perjalanan.

Sejak 1 Januari 2020, semua pengusaha bas ekspres diwajibkan memastikan setiap tempat duduk dilengkapi tali pinggang keledar dan berada dalam keadaan baik.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here