Honda Vario 125 facelift lancar di Indonesia, harga mula RM7,323

9

PT Astra Honda Motor (AHM) rasmi memperkenalkan Honda Vario 125 facelift (2026) ke pasaran Indonesia berkonsepkan penggayaan jalanan menerusi hendal terdedah.

Pasaran negara jiran itu didatangkan dengan tiga pilihan varian iaitu :

  • Sporty CBS : IDR 24,410,000 (RM7,323)
  • Advance CBS-ISS : IDR 26,065,000 (RM7,820)
  • Street : IDR 26,499,000 (RM7,950)

Janakuasanya pula menggunakan enjin 125cc penyejukkan cecair dengan teknologi eSP berkuasa 11.1 PS @ 8,500rpm dan tork 10.8Nm @ 5,000rpm bersama transmisi V-Matic.

Di atas kertas, skuter itu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 51.7km/liter.

Keselesaan tunggangan diserahkan kepada tayar bersaiz 90/80 (depan) dan 100/80 (belakang) dengan rim 14 inci. Sistem breknya menggunakan cakera wavy dengan kehadiran teknologi Sistem Brek Combi (CBS).

Skuter itu menampilkan lampu depan LED namun masih mempertahankan bentuk V sebagai identiti utama.

Rekaan pada panel meter juga mendapat sentuhan corak baru yang segar sekaligus mengukuhkan karakter sporty.

Ciri khasnya terletak pada penggunaan ‘naked handlebar’ serta panel meter terpisah yang dikombinasikan dengan warna rim yang menyerlah bagi varian Street. 

Di samping itu, antara ciri peralatan yang ditawarkan adalah pengecas USB jenis C, ruang barangan hadapan yang lebih luas, sistem kunci pintar, pencahayaan LED, meter digital penuh dan ruang simpanan bawah helmet 18 liter. 

Panel meter memaparkan pelbagai informasi penting termasuk  kelajuan, jarak tempuh, bahan bakar, jam digital, bateri, trip meter, serta indikator ISS dan Honda Smart Key untuk varian CBS-ISS dan Street.

Terdapat juga penyangkut yang memudahkan penunggang membawa barangan keperluan dengan lebih selamat dan fleksibel.

Honda Vario 125 tampil dengan kombinasi warna terbaru yang sesuai dengan trend terkini.

Varian Advance CBS-ISS didatangkan dengan lencana 3D bagi tulisan Vario bersama rim berwarna bronze dengan pilihan warna badan Advance Blue, Advance Matte Red dan Advance Matte Black.

Sementara itu, varian Street dihadirkan dengan warna Street Black Coral, Street Black Purple dan Street Black White bersama warna rim berbeza dan lebih menyerlah. 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here