
Motul Malaysia mengumumkan peningkatan rangkaian minyak enjin kenderaan penumpangnya membabitkan Motul H-Tech 100 Plus, Multipower Plus dan Multigrade Plus kepada spesifikasi terbaharu API SQ dengan reka bentuk pembungkusan baharu.
Langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Motul untuk memperkukuh portfolio minyak enjin menerusi pembangunan produk berterusan meliputi semua segmen pasaran dan memperluas akses kepada teknologi pelincir terkini, bukan sekadar rangkaian premium.
Pengurus Besar Negara, Specialty Lubricants Trading (Malaysia) Sdn Bhd, Ravi Shankar berkata, inovasi tidak hanya tertumpu kepada produk utama, sebaliknya turut merangkumi penambahbaikan produk harian yang menjadi kepercayaan pemandu.
“Dengan menaik taraf tiga rangkaian ini kepada API SQ, kami memperluaskan akses kepada teknologi pelincir termaju kepada lebih ramai pelanggan, selain memastikan perlindungan, kebolehpercayaan dan prestasi yang diharapkan daripada Motul,” katanya.
Menurutnya, formulasi yang dibangunkan berasaskan teknologi pelincir terkini itu direka untuk memenuhi keperluan prestasi enjin petrol masa kini dengan penetapan lebih ketat berbanding API SP dari segi perlindungan kehausan enjin, pengekalan kecekapan bahan api, kebersihan enjin, perlindungan rantai pemasaan, kawalan pengoksidaan serta perlindungan Low-Speed Pre-Ignition.
Rangkaian berkelikatan rendah berkenaan turut mematuhi standard industri terkini ILSAC GF-7A/B bagi memastikan keserasian dengan keperluan enjin semasa serta menyokong kebolehpercayaan jangka panjang dan kecekapan bahan api.
Rangkaian yang dipertingkat itu merangkumi :
- H-Tech 100 Plus sebagai minyak sintetik penuh serba boleh
- Multipower Plus untuk keyakinan prestasi dalam pelbagai keadaan
- Multigrade Plus yang menawarkan nilai maksimum tanpa kompromi
Seiring peningkatan formulasi, Motul turut memperkenalkan pembungkusan baharu yang lebih kemas dan seragam dengan label memaparkan maklumat produk lebih jelas termasuk gred kelikatan, pensijilan API SQ dan ILSAC GF-7A/B, manfaat utama, maklumat penggunaan serta kod QR Oil Selector.
Rangkaian H-Tech 100 Plus, Multipower Plus dan Multigrade Plus yang dinaik taraf kini boleh didapati melalui rangkaian pengedar sah Motul Malaysia di seluruh negara.

