
PRO-NET, anak syarikat PROTON menyerahkan tiga kenderaan Proton e.MAS kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan penilaian kebolehgunaan dan kesesuaian kenderaan elektrik (EV) untuk keperluan armada dan operasi mereka.
Majlis penyerahan berlangsung di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, menyaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa menyerahkan kenderaan tersebut kepada Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Datuk Redzuan Abd Hamid.

Tiga model diserahkan ialah Proton e.MAS 5 Premium, e.MAS 7 Premium dan e.MAS 7 PHEV Premium Plus bagi memberi peluang kepada PDRM menilai prestasi, praktikaliti dan keperluan pengecasan dalam situasi sebenar.
Bagi menyokong penilaian itu, Gentari turut menyediakan kemudahan pengecasan percuma sepanjang tempoh penilaian.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, kerjasama itu memberi gambaran lebih menyeluruh berbanding pandu uji biasa.
“Dengan tiga model ini, PDRM dapat merasai perbezaan setiap pilihan sistem pacuan elektrik serta menilai kesesuaiannya mengikut keperluan operasi.
“Kami faham peralihan kepada EV bagi organisasi yang mempunyai jumlah kenderaan yang besar bukan hanya melibatkan kenderaan itu sendiri, malah pemahaman tentang penggunaan harian, prestasi serta keperluan pengecasan,” katanya.

Menurut beliau, PRO-NET komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan strategik kerajaan dan menyokong usaha negara ke arah ekosistem mobiliti lebih lestari.
Sementara itu, penilaian berkenaan membolehkan PDRM mengumpul data dan maklum balas secara langsung bagi memahami kesesuaian teknologi EV dan PHEV dengan keperluan penggunaannya, termasuk potensi untuk tugas rondaan pencegahan jenayah tertakluk kepada hasil penilaian dan pertimbangan kerajaan.
Setakat 31 Ogos lalu, lebih 6,000 kenderaan Proton e.MAS telah didaftarkan di Malaysia.































