
Seorang lelaki warga India yang memegang permit pekerjaan sebagai buruh binaan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kulim, Kedah selepas didapati menyalahgunakan kenderaan untuk aktiviti perniagaan.
Dalam operasi yang dijalankan di KM1 Jalan Kampung Siam pada jam 12.38 pada Isnin itu, pihak JPJ mendapati penunggang tersebut salah menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran serta kesalahan teknikal kenderaan.
“Susulan kesalahan tersebut, saman telah dikeluarkan terhadap penunggang berkenaan.
“JPJ turut menyita motosikal terbabit bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan.
JPJ Cawangan Kulim dalam satu kenyataan menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya yang tinggi, selain membanteras aktiviti penyalahgunaan permit pekerjaan serta kenderaan oleh pengguna jalan raya.
































