
Bukan Honda Civic Type R atau Acura Integra Type-S tetapi Honda menghantar CR-V e:FCEV ke perlumbaan ikonik The Broadmoor Pikes Peak International Hill Climb.
CR-V e:FCEV akan menjadi kenderaan berkuasa hidrogen pertama yang bersaing di Perlumbaan ke Awan!
Disediakan untuk pertandingan oleh jurutera di Honda of America Race Team (HART), Honda R&D Japan, dan Honda Racing Corporation USA (HRC US), CR-V e:FCEV akan merentasi laluan gunung yang mencabar sejauh 12.42 batu (19.99 km) dengan 156 selekoh pada 22 Jun.
Ia akan dipandu oleh pemenang kelas Pikes Peak, juara Formula Drift dua kali, dan pemandu HRC US, Dai Yoshihara.
CR-V e:FCEV 2025 versi pengeluaran akan bersaing dalam “exhibition class” tanpa pengubahsuaian pada sistem pacuan sifar emisinya.
Ini termasuk sistem sel bahan api Honda generasi kedua yang dihasilkan di Fuel Cell System Manufacturing, LLC (FCSM) di Michigan, motor tunggal yang dipasang di hadapan, pek bateri 17.7 kilowatt-jam (kWj), dan dua tangki hidrogen bertekanan tinggi.
CR-V e:FCEV dibina secara manual di Honda Performance Manufacturing Center (PMC) di Marysville, Ohio, dan merupakan satu-satunya kenderaan penumpang elektrik sel bahan api yang dibuat di Amerika, serta yang pertama menggabungkan sel bahan api hidrogen dengan teknologi hibrid plug-in.
Untuk perlumbaan, satu-satunya pengubahsuaian adalah suspensi yang direndahkan 1 inci, pad brek perlumbaan, roda ringan 18 inci dan tayar Yokohama Advan A052 265/45R18.
HART juga melengkapkan CR-V e:FCEV dengan kerusi perlumbaan dan rangka keselamatan, yang dipasang khas ke dalam kenderaan oleh jurutera Honda di HART dan PMC.
FTcase yang inovatif
Syarikat Zero Emission Industries (ZEI) akan bertanggungjawab menyediakan bahan api hidrogen untuk Honda CR-V e:FCEV sepanjang acara tersebut.
Untuk tujuan ini, mereka akan menggunakan produk baharu mereka, FTcase.
Perkakasan ini, yang direka bentuk sebagai sebuah bekas atau kotak lasak yang kompak, mempunyai dimensi 21 inci lebar x 16 inci dalam x 11.7 inci tinggi, dan berat 43 kilogram (kg).
FTcase merupakan satu penyelesaian pengisian semula hidrogen mudah alih.
Ia berupaya mengubah mana-mana bekalan hidrogen bergas menjadi sebuah stesen pengisian bahan api hidrogen yang lengkap, membolehkan seorang pengendali, tanpa memerlukan kepakaran khusus dalam bidang hidrogen, untuk mengisi bahan api dengan selamat dan cekap.
Perlumbaan ke Awan
Dikenali sebagai Perlumbaan ke Awan kerana puncaknya setinggi 14,115 kaki (4,302 meter) di Pergunungan Rocky Colorado, Pikes Peak International Hill Climb adalah salah satu pertandingan sukan permotoran paling lama di Amerika.
Sejak 1916, pemandu dari seluruh dunia berlumba melawan masa menggunakan pelbagai jenis kenderaan dan dari pelbagai jenis sukan permotoran sambil menempuh laluan gunung yang memenatkan, yang bermula pada ketinggian 9,390 kaki (2,862 meter).
Kenderaan Honda Sifar Emisi di Pikes Peak
Honda mempunyai sejarah yang panjang dalam persaingan sifar emisi di Pikes Peak, bermula sejak 1994 dengan menyertai Kelas EV yang pertama.
Pemandu Katy Endicott memacu Honda Civic wagon yang ditukar kepada EV untuk menduduki tempat pertama dalam Kelas EV (15:44.7).
Lima tahun kemudian, Honda sekali lagi memasuki Kelas EV dengan EV Plus yang telah disediakan untuk perlumbaan, dan sekali lagi menduduki tempat pertama dalam kelas tersebut (15:19.9).
Pada tahun 2014, Honda Fit elektrik memenangi Kelas EV sekali lagi, dan juga mencatat rekod perlumbaan baharu untuk EV (12:55.6).
Pada tahun 2015, model konsep EV empat motor berdasarkan Honda CR-Z menduduki tempat pertama dalam Exhibition Class dengan masa yang mengagumkan 10:23.8.
Honda menambah baik lagi teknologi EV empat motor untuk tahun 2016 di mana kereta konsep berbadan NSX memecahkan masa model sebelumnya dan hampir memecahkan batasan 9 minit (9:06.1).
Bio Pemandu: Dai Yoshihara
Dai Yoshihara telah bersaing di Pikes Peak sebanyak lima kali, termasuk kemenangan Kelas Unlimited pada 2020 dan tempat kedua dalam Exhibition Class pada 2022.
Juara Formula Drift ini mula berlumba untuk Honda pada 2023 dalam Kejuaraan TC America di mana beliau memenangi pelbagai perlumbaan dan menamatkan musim di tempat ke-4 secara keseluruhan.
Dai berlumba menggunakan Civic Type R TCR dalam kelas IMSA Michelin Pilot Challenge sejak 2024.
Honda CR-V e:FCEV 2025
Honda CR-V e:FCEV 2025 mempunyai jarak pemanduan 270 batu (EPA) (434.5 km) dan ditawarkan melalui program pajakan untuk pelanggan di California.
Rangkaian kuasa CR-V e:FCEV menggabungkan sistem sel bahan api buatan A.S. dengan pengecasan plug-in, menawarkan jarak pandu elektrik sehingga 46.6 km untuk kegunaan bandar, serta keupayaan pengisian semula hidrogen yang pantas untuk perjalanan jauh.
CR-V e:FCEV menggunakan sistem sel bahan api Honda generasi kedua yang lebih canggih. Ini bermakna ia lebih tahan lasak, lebih cekap, lebih baik, dan lebih murah berbanding sistem yang lama.
CR-V e:FCEV 2025 menawarka pengalaman pemanduan sport dengan 174 kuasa kuda (hp) dan 310Nm tork untuk pecutan pantas dan kecekapan maksimum.
Jurutera Honda telah mengoptimumkan struktur dan suspensi CR-V e:FCEV untuk memberikan pengalaman pemanduan sporti yang sama seperti model CR-V yang lain.
Berbanding model CR-V turbo dan hibrid, ketegaran lateral belakang meningkat 10%, dan ketegaran torsional belakang telah meningkat 9%.
Honda telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi hidrogen dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) selama lebih dari 30 tahun.
Honda telah menjadi peneraju dalam pembangunan dan penggunaan teknologi sel bahan api.
Ini terbukti melalui ujian meluas dalam keadaan sebenar dan penggunaan pelanggan, termasuk menyediakan kenderaan elektrik sel bahan api kepada armada kerajaan dan memperkenalkan program pajakan runcit yang pertama.
Pengalaman Honda dalam pasaran kenderaan sel bahan api hidrogen bermula dengan pelancaran Honda FCX pada Disember 2002.
FCX merupakan FCEV pertama di dunia yang menerima pensijilan untuk kegunaan harian daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) dan California Air Resources Board (CARB).
Selain itu, FCX merupakan FCEV pertama yang dipajak kepada pelanggan individu.