Kawasaki perkenal model dual-sport KLX 230 Sherpa S, KLX 230 DF

12

Para peminat sukan lasak pastinya akan tertunggu-tunggu dengan kemunculan penawaran terbaharu daripada Kawasaki, iaitu KLX 230.

Untuk model tahun 2026, Kawasaki membawakan KLX 230 Sherpa S ABS dan KLX 230 DF ABS yang membawakan kelebihan yang unik dan tersendiri.

Kedua-dua jentera dual-sport ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 233 cc sejukan udara yang mampu menjana kuasa 19.7 hp pada 8,000 rpm dan 17.9 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin SOHC tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan yang mampu mengimbangi keperluan semasa kelajuan tinggi, serta pengedaran tork pada putaran enjin rendah semasa off-road.

Ada beza spesifikasi antara kedua-dua model yang disebutkan itu tadi. 

KLX 230 Sherpa S menawarkan pelana yang lebih rendah (825.5 mm), jarak kelegaan tanah setinggi 213.4 mm, jarak pergerakan suspensi 157 mm depan/168 mm belakang, dan berat sekitar 136 kg.

Sementara KLX 230 DF pula mempunyai pelana setinggi 846 mm, terima kasih kepada jarak pergerakan suspensi yang lebih tinggi (198 mm depan, 221 mm belakang), jarak kelegaan tanah 238.8 mm dan berat 137 kg.

Varian DF juga turut mendapat ciri tambahan seperti besi pelindung enjin, serta rak barangan dengan had muatan sekitar 3 kg sahaja.

Secara standard, kedua-dua KLX 230 ini dilengkapi fork hadapan jenis terbalik 37 mm, penyerap hentak tunggal Uni-Trak, sistem brek cakera 265 mm dengan angkup dua omboh di depan dan rotor 220 mm belakang berserta angkup omboh tunggal.

Ciri ABS juga adalah standard dan boleh dimatikan mengikut keperluan semasa.

Selain itu, KLX 230 datang dengan lampu LED, skrin paparan LCD yang ringkas, selain menyokong sambungan kepada aplikasi Rideology menggunakan Bluetooth.

Di pasaran US, Kawasaki KLX 230 Sherpa S ABS dijual pada harga $5,699 (RM24,178) sementara KLX 230 DF ABS pula berharga $5,799 (RM24,602).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here