Peugeot hidupkan kembali lencana ikonik menerusi model e-208 GTi

19

Setelah sekian lama, Peugeot akhirnya menghidupkan semula lencana GTi untuk dipadankan pada hot hatch yang lebih moden.

Sayang sekali, hot hatch yang dimaksudkan itu tidak dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman, sebaliknya merupakan model elektrik sepenuh masa.

Peugeot e-208 GTi merupakan model elektrik pertama yang lahir daripada Peugeot Sport menyusuli model pantas 508 hybrid yang dilancarkan beberapa tahun lepas.

Ia dijana dengan motor elektrik tunggal dengan hamburan kuasa 280 hp dan 345 Nm, dengan peningkatan sebanyak 124 hp dan 85 Nm berbanding model standard.

Kuasa itu membolehkan e-208 GTi memecut sepantas 5.7 saat dari pegun ke 100 km/j, dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

Pek bateri standard 54 kWh menawarkan jarak gerak sejauh hanya 350 km/j berbanding 433 km pada model standard.

Namun ia masih lagi menyokong pengecasan pantas DC 100 kW, di mana bateri boleh dicas dari 10-80 peratus SoC dalam masa setengah jam sahaja.

Selain motor elektrik berkuasa, e-208 GTi ini turut dipadankan dengan sistem suspensi sport yang merendahkan ketinggian kereta sebanyak 30 mm, jarak trek roda yang lebih lebar, rim 18 inci, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Tidak cukup dengan itu, hot hatch ini dilengkapi dengan komponen aerodinamik seperti lip spoiler depan dan diffuser belakang, bar anti-oleng di belakang, sistem brek cakera 355 mm dengan angkup empat omboh dan komponen pembeza kekunci sendiri yang dibina terus dalam kotak gear.

Ruang kabin e-208 GTi ini dihiasi dengan tempat duduk hadapan yang direka semula sebagai satu penghormatan buat 205 GTi, aksen alcantara, alas lantai kustom, serta lencana GTi merah pada roda stereng.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here