Honda CR-V Dual-Tone Edition kini di Malaysia: Warna baharu, harga kekal, 300 unit sahaja

5

Sempena sambutan 25 tahun, Honda Malaysia memperkenalkan CR-V Dual-Tone Edition, model edisi terhad yang hanya dihasilkan sebanyak 300 unit sahaja untuk pasaran tempatan.

Bagi Honda, CR-V bukan sekadar sebuah SUV. Ia adalah simbol perjalanan panjang jenama itu di Malaysia sejak dua dekad lalu, menjadi pilihan utama mereka yang mencari keseimbangan antara gaya, keselesaan dan teknologi.

Edisi khas itu tampil dengan sentuhan baharu yang lebih menonjol. Buat pertama kali, CR-V hadir dengan rekaan dua tona dengan bumbung, tiang sisi dan cermin sisi kini dilapisi kemasan hitam berkilat. Ia memberikan imej lebih sporty dan moden tanpa menjejaskan karakter elegannya.

Di bawah hud, ia masih mengekalkan enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang menyalurkan 193PS dan tork setinggi 243Nm dengan padanan transmisi CVT. Untuk edisi terhad itu, ia ditawarkan dengan dua pilihan warna ditawarkan membabitkan Ignite Red Metallic dan Platinum White Pearl.

Harga bagi CR-V Dual-Tone Edition ini kekal seperti varian asal iaitu RM169,900 untuk varian E dan RM181,900 untuk varian V.

Ia dilancarkan sebagai sebahagian daripada kempen ulang tahun ke-25 Honda Malaysia yang dinamakan “Because of You”, sebagai tanda penghargaan kepada semua pelanggan setia mereka.

Sejak diperkenalkan pada awal 2000-an, CR-V melalui pelbagai evolusi penting. Model itu juga menjadi sejarah tersendiri apabila pada tahun 2003, ia merupakan model pertama Honda yang dipasang di kilang Melaka. Sehingga kini, hampir 149,000 unit Sudah berada di atas jalan raya di seluruh negara.

Setiap generasi CR-V tampil dengan pembaharuan tersendiri. Generasi keempat yang dilancarkan pada 2013 memperkenalkan konsep “Premium Smart SUV”, diikuti generasi kelima pada 2017 yang menjadi SUV pertama di Asia Tenggara dilengkapi Honda SENSING dan enjin turbo 1.5L VTEC.

Tahun 2023 pula menyaksikan kemunculan CR-V generasi keenam dengan varian e:HEV RS, menjadikannya SUV hibrid bersaiz sederhana pertama yang dipasang tempatan. Setakat tahun 2024, lebih 11,300 unit CR-V generasi keenam dijual dengan penguasaan pasaran sekitar 36 peratus dalam segmen SUV bersaiz sederhana.

Selain mencatat jualan kukuh, CR-V turut meraih pelbagai anugerah berprestij seperti Malaysia Car of The Year 2024, Allianz DSF.my SUV of The Year, dan Carlist.my dan WapCar.my People’s Choice Awards sekali gus mengukuhkan lagi statusnya sebagai SUV pilihan utama rakyat Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here