
Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama motosikal tempatan dengan memperkenalkan warna baharu Twilight Blue untuk model Vanguard 250E.
Warna itu menambah sentuhan eksklusif pada skuter itu supaya menyerlahkan lagi imej premium yang menjadi identiti utama model berkenaan.
Pelancaran warna baharu dengan kemasan metalik itu turut diraikan seiring dengan pengiktirafan global yang diterima daripada TARO, apabila Aveta Malaysia diiktiraf sebagai Rakan Jualan Utama Global bagi Vanguard 250.
Anugerah itu diberikan berdasarkan prestasi jualan yang cemerlang di Malaysia berbanding rakan niaga TARO lain di seluruh dunia. Ia satu pencapaian besar yang mengangkat nama Aveta ke peringkat antarabangsa.

Warna Twilight Blue diilhamkan daripada keindahan langit pada waktu senja, simbol kepada kecanggihan, gaya dan personaliti moden. Warna metalik itu memiliki kesan unik seakan “chameleon”, di mana tona biru, ungu dan hijau berubah secara lembut apabila terkena cahaya matahari.
Kesan visual ini menjadikan Vanguard 250 SE kelihatan lebih dinamik dan premium, sesuai dengan karakter penunggang moden yang mahukan gaya tersendiri di jalan raya.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim berkata, warna baharu itu bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi mencerminkan semangat Aveta untuk terus maju seiring kehendak pengguna masa kini.
“Twilight Blue bukan hanya warna baharu, tetapi lambang komitmen kami untuk memahami keinginan penunggang motosikal moden.
“Ia dihasilkan berdasarkan maklum balas pengguna yang mahukan sesuatu yang lebih berkilau dan bertenaga — satu pilihan yang benar-benar menggambarkan personaliti penunggang Aveta hari ini,” katanya.

Dari segi penawaran, Aveta mengekalkan harga jualan asas (BSP) bagi warna Twilight Blue sama seperti varian lain yang sedia ada. Model Vanguard 250 SE ini terus menawarkan gabungan kuasa, keselesaan dan kawalan yang menjadi tanda tangan Aveta, lengkap dengan gaya moden dan ciri-ciri premium yang menonjol.
Untuk makluman, varian SE kini menjadi satu-satunya versi yang ditawarkan di Malaysia, selepas pengeluaran versi Standard dihentikan. Model Vanguard 250 SE dalam warna Twilight Blue sudah mula dijual di pasaran, dengan pengedar pilihan dan utama menjadi antara yang terawal menerima stok.

Sebelum ini, motoqar melaporkan Vanguard 250 SE dijual bermula RM16,388. Skuter adventure itu dilengkapi dengan enjin 244.2cc SOHC penyejukkan cecair silinder tunggal yang menghasilkan kuasa 24.8hp @ 8,500rpm dan tork 22.5Nm @ 6,500rpm bersama transmisi CVT.
Dibina berasaskan platform Piaggio Nexus 250 yang terkenal dengan ketahanan, Vanguard 250 dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api (EFI) elektronik Bosch.
Vanguard 250 mencipta definisi baharu dalam segmen ATC (Adventure-Touring-Crossover) yang mana telah menjalani ujian enduran sejauh 20,000km merentasi pelbagai jenis jalan daripada laluan berbatu hingga lebuh raya di semenanjung.

Versi Twilight Blue ini bakal menjadi sebahagian kekal dalam barisan Vanguard 250 SE, menandakan satu evolusi penting dalam rangkaian skuter premium Aveta. Ia bukti bahawa jenama tempatan juga mampu berdiri sama tinggi dengan pengeluar antarabangsa.
































