
Aveta Motor Malaysia rasmi memperkenalkan dua model baharu ke pasaran tempatan iaitu Vanguard 180 dan Vanguard 250 Edisi Terhad.
Vanguard 250 Edisi Terhad yang dijual pada harga RM17,188 seunit hanya dikeluarkan sebanyak 688 unit. Didatangkan dengan lencana nombor siri individu, skuter itu tampil dengan reka bentuk hendal lebih sporty serta pemijak kaki logam.
Sentuhan eksklusif turut diterapkan menerusi paparan pembukaan khas Edisi Terhad pada skrin meter dan pelekat grafik khusus bersama pilihan warna eksklusif Eclipse Blue dan hanya boleh didapati di Pengedar Preferred Aveta.
Sementara, kehadiran Adventure Touring Crossover (ATC), Vanguard 180 merupakan pilihan sesuai bagi penunggang yang ingin menceburi segmen motosikal kembara atau bercadang menaik taraf jentera mereka.
Dikuasakan oleh enjin 174cc sejukan cecair SOHC, ia menghasilkan kuasa 13.6kW @ 8,500rpm dan tork 17.2Nm @ 6,500rpm bersama transmisi automatik CVT.
Posisi tunggangan tegak, ketinggian pelana 780mm, sistem suspensi belakang boleh laras dan jarak kelegaan tanah 140mm memberikan keselesaan serta keyakinan lebih baik ketika melalui jalan bandar, permukaan tidak rata dan jalan berbatu.
Dari segi keselamatan, Vanguard 180 dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), paparan skrin sentuh TFT 7-inci, kamera hadapan bersepadu, sistem kunci pintar serta port pengecasan USB jenis A dan C
Vanguard 180 ditawarkan dalam pilihan warna Gray Sandstone dan Neon Terrain, manakala varian Explorer Pack ditawarkan secara eksklusif dalam warna Frost White serta dilengkapi kotak simpanan berkapasiti 46 liter yang mana masing-masing dijual pada harga RM9,398 dan RM9,698.
Vanguard 180 Explorer Pack
































