
Penunggang motosikal p hailing tidak dapat menyelesaikan tempahan yang diterima selepas motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Limbongan, Melaka, pada malam Rabu.
Dalam operasi bersepadu sekitar jam 9.30 malam itu, motosikal Modenas Dinamik 120 itu didapati gagal memperbaharui cukai jalan selama tiga tahun.
Pemuda berusia sekitar 30-an itu memberi alasan membeli motosikal berkenaan daripada kenalannya namun urusan memperbaharui cukai jalan tidak dapat dilakukan kerana individu itu tidak dapat dihubungi.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, dua motosikal disita selain sebanyak 745 buah kenderaan diperiksa dalam operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Sebanyak 72 kenderaan telah diambil tindakan serta 193 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan sitaan dua motosikal.
“Selain motosikal penghantar makanan, sebuah lagi motosikal ditunggang warga asing turut diambil tindakan sama atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu sah,” katanya.
































