Utama Berita Automotif BYD Australia panggil semula Shark 6, risiko tayar ganti tercabut sendiri

BYD Australia panggil semula Shark 6, risiko tayar ganti tercabut sendiri

5

Trak pikap plug-in hybrid BYD Shark 6 mula memasuki pasaran Australia pada penghujung tahun 2024. 

Biarpun berdepan dengan nama-nama besar dalam segmen trak pikap, angka jualan berjaya membuktikan BYD Shark 6 masih mendapat tempat di hati warga Australia dengan lebih 32,000 unit terjual dalam masa 2 tahun. 

Sayang sekali, model ini juga tidak terlepas daripada masalah. 

BYD Australia baru-baru ini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 32,009 unit Shark 6 atas risiko tayar ganti yang boleh tercabut. 

Ini merupakan antara program panggil semula terbesar yang pernah dikeluarkan oleh BYD Australia

Pelanggan juga dinasihatkan supaya menanggalkan tayar ganti daripada tempat pemasangan sehinggalah pembaikan dibuat. 

Menurut BYD, masalah ini berpunca daripada kemungkinan haus yang tidak normal pada kabel sokongan tayar ganti. 

Ia boleh disebabkan oleh pemasangan yang salah, posisi dulang tayar ganti yang tidak tepat atau tork pengikat yang tidak mencukupi, memungkinkan kabel mengalami geseran berterusan semasa pemanduan. 

Dalam situasi tertentu, tayar ganti tersebut boleh tercabut sendiri ketika memandu. 

Kempen panggil semula ini melibatkan semua varian Shark 6 di Australia, iaitu Premium, Performance dan Dynamic. 

Proses pemasangan komponen gantian percuma hanya mengambil masa 30 minit, namun pemilik mungkin perlu meninggalkan trak pikap mereka di bengkel bergantung kepada jadual pembaikan. 

Ini bukanlah kali pertama BYD mengumumkan kempen panggil semula. 

Pada tahun 2022, BYD Atto 3 diarahkan supaya jualannya dihentikan setelah mendapati model tersebut melanggar peraturan keselamatan berkaitan titik sauh kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang tengah. 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here