
Proton Holdings Bhd (PROTON) memperluaskan keluarga sedan S70 menerusi pelancaran varian baharu 2026 Proton S70 Lite dan Prime yang ditawarkan pada harga bermula RM56,800 selepas rebat ganjaran tempahan awal.
Dua varian baharu itu masing-masing ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM59,800 bagi S70 Lite dan RM62,800 bagi S70 Prime di Semenanjung Malaysia, manakala harga di Malaysia Timur ialah RM61,800 dan RM64,800.
Bagaimanapun, pelanggan yang membuat tempahan dan melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2026 layak menerima rebat RM3,000, menjadikan harga S70 Lite serendah RM56,800 di Semenanjung Malaysia dan RM58,800 di Malaysia Timur.

Bagi S70 Prime pula, harga selepas rebat ditetapkan pada RM59,800 di Semenanjung Malaysia dan RM61,800 di Malaysia Timur.
Pelancaran dua varian itu sekali gus memperluaskan pilihan dalam keluarga S70, dengan PROTON mengetengahkan 10 ciri terunggul dalam kelasnya membabitkan aspek ruang, keselesaan, ketersambungan, kemudahan dan keselamatan.
Lebih menarik, tempahan bagi kedua-dua varian baharu berkenaan dibuka pada 7 September lalu dan sehingga kini menerima lebih 10,000 tempahan dalam tempoh hanya dua minggu.
Perkembangan itu hadir ketika Proton S70 mencatatkan purata jualan bulanan melebihi 2,500 unit pada 2026, sekali gus menjadi latar kepada pengenalan Lite dan Prime dalam rangkaian sedan berkenaan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, pengenalan S70 Lite dan Prime memberi tumpuan kepada perkara penting dalam pemilikan harian, termasuk ruang, keselesaan, kemudahan, ketersambungan dan keselamatan.
“Dengan Proton S70 Lite dan Prime, kami menjadikan S70 lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia dengan memberi tumpuan kepada perkara yang penting dalam pemilikan harian – ruang, keselesaan, kemudahan, ketersambungan dan keselamatan,” katanya.
Dari sudut praktikaliti, kedua-dua varian menawarkan ruang kabin dan ruang bahu penumpang belakang yang terunggul dalam kelasnya, disokong badan yang lebar serta jarak roda yang luas.

Lantai belakang yang hampir rata turut membolehkan tiga penumpang duduk bersebelahan dengan lebih selesa, manakala panel instrumen kemasan lembut dan perincian dalaman direka bagi mewujudkan suasana kabin yang lebih halus.
Keperluan harian turut diberi perhatian menerusi ruang penyimpanan yang praktikal, selain ciri ketersambungan dan kemudahan seperti Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar yang tersedia mulai Oktober 2026.
Kelengkapan lain termasuk :
- Electric Parking Brake dengan Auto Brake Hold
- fungsi Auto Up/Down dengan Anti Trap untuk semua tingkap
- Remote Engine Start
- lima port USB dengan kelengkapan berbeza mengikut varian
Dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara serta sensor parkir hadapan dan belakang.
Sistem ‘Rear Side Radar’ turut merangkumi :
- Blind Spot Detection
- Lane Change Assist
- Rear Cross Traffic Alert
- Door Opening Warning
- Rear Collision Warning dengan kelengkapan berbeza mengikut varian
Reverse Camera dan Rear Seat Reminder pula ditawarkan sebagai ciri standard bagi kedua-dua varian.
Menggerakkan kedua-dua model itu ialah enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi CVT bersama torque converter.

Menurut PROTON, rangkaian kuasa berkenaan memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan selesa, selain menyokong prestasi NVH yang baik untuk menghasilkan persekitaran kabin yang tenang.
Karakter pemanduan itu disifatkan sesuai untuk perjalanan dalam bandar, kegunaan keluarga dan perjalanan jarak jauh.
Kedua-dua varian turut mengekalkan Proton Ride & Handling serta tiga mod pemanduan boleh pilih, membolehkan pemandu menyesuaikan pemanduan mengikut keadaan jalan dan pilihan masing-masing.
Pada masa sama, kelengkapan yang dibezakan mengikut varian membolehkan rangkaian S70 diperluaskan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.




