Utama Berita Automotif Boon Siew Honda terima kunjungan hormat TYT Pulau Pinang

Boon Siew Honda terima kunjungan hormat TYT Pulau Pinang

5

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib hari ini mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Boon Siew Honda Sdn Bhd (Boon Siew Honda) di Batu Kawan, dekat sini.

Lawatan itu bertujuan mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai operasi syarikat, proses pembuatan motosikal serta rangkaian model ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Ketibaan beliau disambut pengurusan tertinggi syarikat sebelum dibawa ke sesi taklimat mengenai operasi perniagaan dan pembuatan Boon Siew Honda.

Atur cara lawatan turut merangkumi lawatan ke fasiliti kilang pengeluaran serta sesi pengenalan kepada rangkaian motosikal Honda dalam pelbagai segmen bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat Malaysia.

Lawatan turut mempunyai makna tersendiri buat Boon Siew Honda sebagai jenama warisan yang sinonim dengan pembangunan industri motosikal dan landskap perindustrian Pulau Pinang sejak tahun 1957.

Ketika ini, operasi syarikat di Batu Kawan mempunyai seramai 362 pekerja, sekali gus mencerminkan peranannya sebagai antara majikan tempatan yang lama bertapak di negeri itu.

Berlandaskan legasi tersebut, Boon Siew Honda terus berkembang menerusi komitmen terhadap inovasi serta usaha memperkukuh keupayaan pembuatan dan perniagaan bagi memenuhi keperluan mobiliti yang sentiasa berubah.

Komitmen itu turut merangkumi pembangunan tenaga kerja dalam industri menerusi penyediaan latihan teknikal dan bukan teknikal secara berterusan kepada kakitangan serta rakan pengedar.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano berkata, sebagai jenama warisan yang mempunyai akar kukuh di Pulau Pinang, pihaknya berbangga dengan perjalanan yang dibina bersama negeri itu dan Malaysia sepanjang beberapa dekad lalu.

“Walaupun legasi kami menjadi asas yang kukuh, kami percaya komitmen berterusan terhadap inovasi, pembangunan tenaga kerja serta pengukuhan keupayaan membolehkan kami terus maju dan memenuhi keperluan mobiliti rakyat Malaysia yang semakin berkembang,” katanya.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here