
BYD meneruskan lagi perluasan rangkaian pengecasan Flash dengan melakukan transformasi sebuah stesen minyak Sinopec di Shanghai menjadi hab pengecasan lengkap dengan 12 petak cas, kawasan rehat serta kedai serbaneka.
Menurut pihak Sinopec, lebih banyak stesen minyak akan diubahsuai selepas gergasi petroleum milik kerajaan itu menjalin kerjasama pada Jun 2024.
Portal media China, news18a melaporkan bahawa kedua-dua pihak sebelum ini telah menjalin kerjasama dalam membina rangkaian pengecas, berkongsi perkhidmatan peruncitan, serta menyelaraskan rantaian bekalan tenaga.
Stesen di Shanghai itu merupakan hab pengecasan Flash pertama yang diubahsuai dan dikendalikan secara bersama oleh kedua-dua pihak. Kerja pengubahsuaian dengan konsep sama dijangka bakal diperluaskan ke stesen Sinopec yang lain.
Perbezaan Hab ‘Flash Charging’
Kebanyakan stesen pengecasan di China dibina di kawasan parkir kereta, sama ada di atas tanah mahupun di petak bawah tanah. Infrastruktur sokongan di lokasi sedemikian adalah terhad dan biasanya hanya menyediakan mesin minuman layan diri serta tandas awam asas.
Kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya di China turut menawarkan kemudahan pengecasan pantas DC yang mana pemandu boleh mengakses kedai runcit dan restoran sedia ada. Bagaimanapun, stesen-stesen pengecas ini menetapkan kadar bayaran yang mahal serta terlalu sesak semasa musim cuti.
BYD dijangka mahu menambah lebih banyak ciri dan perkhidmatan pada stesen Flash mereka. Pengurus Perhubungan Awam syarikat itu, Li Yunfei menyatakan bahawa hab baharu itu akan menawarkan perkhidmatan pengecasan sehenti.
Seperti kebanyakan stesen minyak, Sinopec mengendalikan rangkaian kedai serbaneka di sebelah pam minyak di bawah jenama “Easy Joy” lengkap dengan kemudahan tandas.
Kerjasama dengan gergasi petroleum itu membolehkan BYD menghindari beban kerja asas untuk menubuhkan saluran peruncitan baharu atau membawa masuk francais baharu.
BYD juga telah memilih lokasi yang sangat strategik bagi hab pengecasan perdana pertamanya di Shanghai. Ia terletak berhampiran dengan Hab Pengangkutan Hongqiao, yang merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Hongqiao, stesen kereta api kelajuan tinggi serta tiga laluan transit MRT.
Perubahan Pada Infrastruktur

Gambar yang dikongsikan oleh BYD menunjukkan bahawa hab berkenaan dilengkapi dengan 12 petak cas yang menggunakan enam tiang pengecas berbentuk “T” dengan dua kabel pengecas setiap tiang.
Kawasan rehat pula menyediakan bilik khas yang dilengkapi meja, kerusi boleh baring serta stesen pemantauan kesihatan yang boleh mengukur tahap ketepuan oksigen dalam darah dan kadar denyutan jantung.
Kedai serbaneka Sinopec “Easy Joy” kekal beroperasi di lokasi berkenaan, namun kini tanpa pengendali dan dibuka 24 jam sehari. Ia menawarkan barangan seperti minuman, mi segera, snek dan juga rokok yang mana sistem pembayaran dipercayai hanya menerima transaksi digital.
Di Fen Zhi Jia, sebuah saluran media berfokuskan BYD mendakwa bahawa tangki simpanan bahan api stesen berkenaan telah dikeluarkan bagi memberi ruang kepada penyimpanan bateri sistem Flash.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada tangki simpanan asal atau bateri penyimpan tersebut ditempatkan di atas atau di bawah tanah.
Pengecas pantas BYD dilengkapi dengan empat unit Bateri Blade yang bertindak sebagai penyimpan tenaga grid kuasa dengan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 169 atau 185 kWh.
Pihak syarikat mengesahkan bahawa pengecas itu secara nominal hanya memerlukan bekalan kuasa 100kW daripada grid, manakala bateri penyimpan tersebut akan dicas semula semasa tiada kenderaan menggunakan pengecas berkenaan.



































