
Kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi di Asia Barat dan kesannya terhadap harga minyak global sebelum mempertimbangkan semula kuota bulanan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang kini ditetapkan pada kadar 200 liter.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata buat masa ini, masih terlalu awal untuk kerajaan membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan mengembalikan kuota kepada 300 liter memandangkan perkembangan gencatan senjata yang diumumkan baru-baru ini memerlukan masa untuk menilai keberkesanan dan impaknya terhadap pasaran minyak.
“Saya rasa kalau kita tengok perkembangannya baru lagi, mengenai gencatan senjata sementara yang baharu dimeterai pada Jumaat lepas.
“Ini akan mengambil masa 60 hari untuk mereka (Amerika Syarikat dan Iran) terus berbincang. Jadi, kita kena tunggu dan lihat sama ada ini boleh kekal dan implikasi keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata apa yang penting adalah kerajaan sentiasa berusaha memastikan rakyat terus dilindungi.
“Jadi, yang penting apa yang kami usahakan dalam kerajaan ini adalah untuk memastikan rakyat terus dilindungi, iaitu dari segi apa yang kami buat di bawah BUDI95. Walaupun kuota turun daripada 300 liter kepada 200 liter tetapi implikasinya terkawal,” jelasnya.
Amir Hamzah berkata hampir 80 peratus penerima subsidi BUDI95 didapati menggunakan kurang daripada 200 liter petrol setiap bulan.
“Kami juga menyarankan mereka yang boleh supaya mengurangkan (penggunaan petrol). Sebab itu ada usaha seperti bekerja dari rumah untuk mengurangkan penggunaan petrol yang ada dan kami juga menyarankan penggunaan secara berhemat agar kita dapat mengurangkan tekanan yang ada,” katanya.































