
Honda secara rasmi membuka sebuah lagi fasiliti pengeluaran motosikal di Turkiye.
Ia merupakan langkah strategik bagi mengukuhkan kedudukan jenama Jepun itu dalam salah satu pasaran dua roda paling pesat berkembang di Eropah.
Terletak di Aliağa, Izmir, kilang baharu ini menjadi kilang motosikal Honda ke-38 di dunia, dan sudah pun beroperasi sejak April 2026.
Pada peringkat awal, fasiliti ini mampu menghasilkan 100,000 motosikal setahun, dengan potensi untuk meningkat sehingga 200,000 unit jika permintaan terus melonjak.
Turkiye merupakan antara pasaran terkuat Honda di Eropah, dengan mengekalkan kedudukan nombor satu dalam carta jualan untuk 11 tahun berturut-turut.
Pencapaian ini didorong oleh permintaan tinggi terhadap motosikal mampu milik dan penghantaran komersial seperti Honda PCX125.
Fasiliti ini merangkumi kawasan seluas 100,000 meter persegi dengan 45,000 meter persegi dikhususkan untuk bahagian produksi.
Ia juga menyediakan sehingga 300 peluang pekerjaan untuk penduduk sekitar.
Presiden dan Pengarah Honda Motor Europe, Hans de Jaeger, menyifatkan kilang ini sebagai “tanda keyakinan kukuh terhadap pasaran Turkiye” dan percaya ia akan menyumbang kepada rancangan pengeluaran global Honda serta pertumbuhan industri negara itu.
Presiden Honda Türkiye, Satoru Yamada, pula menegaskan bahawa projek ini mencerminkan “visi jangka panjang” Honda untuk Turki, dan kejayaan sebenar akan diukur melalui nilai yang dibawa kepada komuniti setempat — bukan sekadar angka jualan.
Selain pengeluaran, Honda turut membangunkan tapak ini selari dengan sasaran alam sekitar global mereka. Projek sosial tempatan seperti program pendidikan trafik dan inisiatif penanaman semula hutan juga akan diteruskan bersama operasi kilang.

































