Utama Berita Automotif Yamaha YZF-R7 ABS 2026 Jepun, banyak ciri baharu, tiada di Malaysia secara...

Yamaha YZF-R7 ABS 2026 Jepun, banyak ciri baharu, tiada di Malaysia secara rasmi

8

Yamaha Motor Sales Co., Ltd. melancarkan model diperbaharui bagi motosikal supersport mereka iaitu Yamaha YZF-R7 ABS. Model ini dijadualkan akan pelanggan di Jepun pada 29 Mei 2026.

Jentera ini membawakan peningkatan drastik daripada aspek sistem sokongan tunggangan dan komponen casis bagi memberikan pengalaman yang lebih mantap di litar mahupun di jalanan.

Rangkaian Kuasa dan Bunyi Ambilan

Yamaha YZF-R7 dikuasakan enjin 688 cc yang dibangunkan berasaskan Crossplane Concept dan menghasilkan kuasa 73 ps dan tork maksimum 68 Nm.

Konsep ini membolehkan enjin menghasilkan tork pembakaran yang lebih cekap dengan mengurangkan tork inersia.

Melalui penggunaan sistem YCC-T atau kawalan pendikit elektronik, karakteristik tork kini menjadi lebih lancar dan linear di seluruh julat RPM.

Selain itu, Yamaha mengoptimumkan bentuk saluran ambilan dan corong dengan panjang berbeza bagi menghasilkan bunyi ambilan lebih harmoni dan bertenaga seiring peningkatan kelajuan enjin.

Sistem Elektronik dan Sokongan Penunggang

Satu lonjakan besar bagi model 2026 ini ialah pengenalan unit 6-axis IMU yang mengesan daya inersia dan kedudukan jentera secara tepat.

Sistem ini dihubungkan dengan Yamaha Ride Control yang membolehkan penunggang memilih karakteristik kuasa enjin serta tahap campur tangan peranti elektronik mengikut kesesuaian.

Antara ciri baharu yang disertakan ialah back slip regulator untuk menstabilkan jentera ketika brek enjin melampau dan penukar cepat generasi ketiga dengan penukaran gear ke atas dan ke bawah.

Untuk tunggangan jarak jauh, sistem kawalan pelayaran kini tersedia dan boleh diaktifkan bermula gear 3 pada kelajuan melebihi 50 km/j.

Terdapat juga fungsi Yamaha variable speed limiter untuk mengehadkan kelajuan mengikut tetapan penunggang.

Casis dan Pengendalian Lebih Lincah

Struktur rangka jenis backbone daripada keluli tegangan tinggi diubah dari segi diameter dan ketebalan tiub untuk meningkatkan ketegaran kilasan, membujur serta sisi tanpa menambah berat keseluruhan.

Lengan ayun belakang turut direka semula dengan bentuk asimetri yang lebih efisien.

Penggunaan rim spin-forged yang lebih ringan membantu mengurangkan momen inersia bagi memudahkan pengendalian yang lincah.

Pada bahagian hadapan, penggunaan komponen aluminium pada rod omboh suspensi berjaya mengurangkan berat sebanyak 350 g.

Selain itu, penggunaan aluminium die-cast pada pendakap cowl turut mengurangkan lagi berat sebanyak 273 g berbanding model terdahulu.

Ergonomik dan Keselesaan Penunggang

Posisi tunggangan telah dikemas kini untuk memberikan lebih kebebasan kepada pergerakan tubuh bahagian atas.

Kedudukan pemegang kini 3.6 mm lebih tinggi dan 8.4 mm lebih ke belakang.

Bentuk tangki bahan api diubah bagi membolehkan penunggang mengalih berat badan dengan lebih aktif ketika mengambil selekoh.

Pelana hadapan kini menggunakan tekstur yang sama seperti model YZF-R1 dan YZF-R9 untuk cengaman lebih baik.

Ketinggian pelana telah diturunkan sebanyak 5 mm bagi memudahkan penapakkan kaki ke tanah.

Ketersambungan dan Teknologi Paparan

Penunggang kini dibekalkan dengan paparan TFT 5 inci berwarna penuh yang menawarkan empat corak paparan termasuk mod Track.

Melalui aplikasi YAMAHA Motorcycle Connect, paparan meter boleh memaparkan makluman panggilan, e-mel dan tahap bateri telefon.

Sistem ini juga menyokong navigasi Garmin StreetCross secara terus pada skrin.

Bagi mereka yang gemar beraksi di litar, aplikasi Y-TRAC Rev membolehkan visualisasi data tunggangan, analisis masa pusingan dan fungsi papan pit maya terus melalui telefon pintar atau tablet.

Rekaan Luaran dan Estetik

Gaya luaran mengekalkan identiti siri YZF-R dengan saluran udara berbentuk M, namun bentuk seperti saluran di sekeliling lampu kini telah diratakan dengan lensa untuk lampu baharu.

Rekaan ini meningkatkan lagi prestasi aerodinamik dengan mengurangkan nilai Cd-A serta menahan daya angkat tayar hadapan.

Lampu hadapan menggunakan modul lensa kecil yang kompak untuk memberikan pencahayaan yang cemerlang.

Reka bentuk lensa pada lampu posisi kiri dan kanan juga telah diubah menjadi lebih minimalis untuk menonjolkan rupa yang langsing.

Selain itu, cermin sisi kini dilengkapi lampu isyarat terbina dalam untuk aerodinamik yang lebih baik dan penampilan yang lebih kemas.

Terdapat tiga pilihan warna iaitu biru, hitam metalik dan warna putih khas untuk Edisi Ulang Tahun ke-70 yang terhad kepada 200 unit sahaja.

Harga dan Ketersediaan

Yamaha YZF-R7 ABS ditawarkan pada harga ¥1,166,000 yang bersamaan dengan kira-kira RM29,010.

Bagi varian eksklusif YZF-R7 Edisi Ulang Tahun ke-70 ABS, ia dijual pada harga ¥1,254,000 atau sekitar RM31,200.

Yamaha menyasarkan jualan sebanyak 400 unit setahun bagi model standard manakala Edisi Ulang Tahun ke-70 ditawarkan secara sangat terhad dengan hanya 200 unit sahaja.

Spesifikasi Teknikal Yamaha YZF-R7 ABS 2026

  • Enjin sejukan cecair 4 lejang DOHC 4 injap 2 silinder selari
  • Sesaran enjin 688 cc
  • Output maksimum 73 ps @ 8,750 rpm
  • Tork maksimum 68 Nm @ 6,500 rpm
  • 6 kelajuan jenis return
  • Kapasiti tangki bahan api 13 L
  • Dimensi (P x L x T) 2,070 mm x 725 mm x 1,160 mm
  • Ketinggian pelana 830 mm
  • Jarak roda 1,395 mm
  • Jarak lega tanah minimum 135 mm
  • Berat 189 kg
  • Tayar hadapan 120/70ZR17M/C 58W jenis tanpa tiub
  • Tayar belakang 180/55ZR17M/C 73W jenis tanpa tiub
  • Sistem brek hadapan dua sisi cakera hidraulik
  • Sistem brek belakang cakera tunggal hidraulik
  • Kapasiti penumpang 2 orang

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here