Utama Berita Automotif Yamaha teruskan pembangunan sportbike elektrik jalanan

Yamaha teruskan pembangunan sportbike elektrik jalanan

7

Motosikal berenjin pembakaran dalaman masih lagi menjadi raja di dalam carta jualan, namun ia bukanlah penghalang untuk Yamaha meneruskan pembangunan motosikal berkuasa elektrik. 

Berdasarkan paten terbaharu, Yamaha dilapor masih lagi meneruskan kerja-kerja R&D untuk menghasilkan sebuah sportbike jalanan berkuasa elektrik. 

Tiada perincian dari segi rupa, akan tetapi lebih terarah kepada kedudukan unit kawalan hidraulik ABS. 

Seperti kebanyakan motosikal elektrik, jentera baharu Yamaha ini tidak mempunyai pedal brek belakang, sebaliknya fungsi tersebut dialihkan pada tuil sebelah kiri bar hendal menggantikan fungsi klac. 

Menurut paten yang didaftarkan, model ini menampilkan unit ABS betul-betul di belakang bahagian kepala stereng, sekali gus memendekkan jarak hos yang menghubungkannya ke unit silinder utama, tidak seperti kebanyakan motosikal yang meletakkan unit ABS du bawah tempat duduk. 

Yamaha mendakwa hos yang lebih pendek memberikan tindak balas ABS yang lebih pantas berbanding unit biasa. 

Selain itu, paten terbaharu itu menunjukkan kehadiran pengecas AC yang lebih pantas menggunakan soket Mennekes/Type 2. 

Kedudukan soket tersebut terletak di atas pek bateri yang berbentuk segi empat besar, memudahkan urusan pengecasan. 

Ini bermakna, motosikal elektrik Yamaha ini boleh dicas dengan lebih pantas menggunakan pilihan pengecas 7.4 kW atau 22 kW berbanding penggunaan soket biasa. 

Satu persoalan yang timbul, bilakah unit produksi sebenar motosikal elektrik Yamaha ini bakal muncul di pasaran? 

 

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here