
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah motolori yang membawa muatan kayu getah melebihi had dalam operasi Kenderaan Perdagangan di KM4, Jalan Jabi pada Khamis.
Menurut kenyataan, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh, tidak mempunyai perlindungan insurans sah serta gagal memperbaharui Pemeriksaan Berkala Puspakom.
“Lebih membimbangkan, muatan kayu getah yang dibawa didapati tidak selamat dan berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Menurut pemandu, mereka dipercayai menerima maklumat daripada pihak tonto yang mendakwa tiada penguatkuasaan JPJ dijalankan di kawasan berkenaan.
“Namun sangkaan itu meleset apabila kenderaan tersebut berjaya dikesan dan ditahan,” katanya.
JPJ Kedah menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperhebat penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelak undang-undang jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
































