
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang antara lain bertujuan membendung aktiviti lumba haram dan menduga kelajuan melibatkan semua jenis kenderaan.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 43 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bermula semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata Seksyen 42A diperkenalkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil lebih awal terhadap kegiatan lumba haram tanpa perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian.
Beliau berkata pindaan itu bertujuan menutup kelompongan undang-undang sedia ada yang menyukarkan tindakan diambil terhadap pelumba haram kerana pihak berkuasa sebelum ini perlu membuktikan unsur bahaya atau akibat yang telah berlaku.

“Dengan Seksyen 42A, perbuatan berlumba atau menduga kelajuan itu sendiri menjadi suatu kesalahan khusus. Seksyen ini memperuntukkan mana-mana orang yang berlumba di jalan yang melibatkan dua atau lebih kenderaan motor, termasuk kereta adalah melakukan kesalahan,” katanya.
Mengenai peningkatan kadar kompaun daripada RM300 kepada RM500 bagi beberapa kesalahan, Loke berkata pindaan itu bukan bertujuan menambah pendapatan kerajaan, tetapi mengambil kira keseimbangan antara pencegahan, keseriusan kesalahan dan keadilan dalam Akta 333.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut mengambil maklum cadangan supaya kenderaan yang diubah suai secara ekstrem dan digunakan untuk lumba haram tidak dikembalikan kepada pemilik, namun sebarang tindakan pelupusan atau pemusnahan perlu mematuhi proses perundangan.
Berhubung Seksyen 110B, beliau berkata ia diwujudkan bagi membendung kegiatan tonto termasuk perbuatan menghalang, mengekori, mengganggu atau membocorkan maklumat operasi bagi membantu pesalah mengelak tindakan penguatkuasaan, sekali gus melindungi pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis daripada gangguan serta kebocoran maklumat kepada sindiket.
Selain itu, Loke berkata akta itu mentakrifkan kenderaan mikromobiliti sebagai kenderaan berkuasa elektrik, enjin atau tenaga manusia dengan had kelajuan tertentu dan peraturan berkaitannya digubal bagi memastikan penggunaannya tidak membahayakan pengguna serta orang awam.
Beliau berkata kerajaan mengambil maklum penggunaan mikromobiliti oleh pelajar, golongan B40 dan orang kurang upaya dengan penekanan diberikan kepada keselamatan pengguna, khususnya bagi Personal Mobility Aids (PMA) yang sesuai di kawasan tertentu seperti laluan pejalan kaki dan kawasan perumahan, namun tertakluk kepada kawalan pihak berkuasa.

































