
Antara kenderaan yang cukup penting untuk operasi ketenteraan dan operasi khas (SpecOps) ialah motosikal.
Kelebihannya? Ringan, laju, lincah untuk pergerakan keluar masuk dan boleh mengelak daripada dikesan musuh.
Ia juga boleh dibawa jelajah ke tempat yang sukar diakses oleh kenderaan tentera biasa.
Namun, motosikal konvensional mempunyai dua masalah utama, iaitu bunyi bising dan haba enjin pembakaran yang mudah untuk dikesan melalui kamera haba dan mikrofon taktikal.
Tentera Ukraine kini menemukan penyelesaian masalah tersebut menerusi Wolfstorm, sebuah motosikal elektrik off-road kalis pengesanan haba dan akustik yang direka khusus untuk kegunaan operasi khas.
Kementerian Pertahanan Ukraine dalam satu kenyataan berkata, “Senyap, tiada jejak haba dan mampu membawa dua anggota yang lengkap dengan peralatan.”
Malah dengan keupayaan khas yang disebutkan tadi, Wolfstorm sukar untuk dikesan oleh oleh kamera haba dan sistem akustik, sesuai untuk misi yang memerlukan penyusupan tanpa jejak.
Wolfstorm dilengkapi dengan motor elektrik 8 kW (10 hp) yang membenarkan tunggangan sejauh 96 km untuk sekali cas penuh.
Pengecasan penuh mengambil masa 4 jam, namun bateri tersebut boleh ditukar kepada bateri yang sudah dicas penuh dalam masa beberapa minit sahaja.
Ia juga turut menggunakan sistem pacuan rantai, walaupun lebih bising berbanding tali sawat namun ia dipilih atas faktor ketahanan.
Selain itu, Wolfstorm juga mampu membawa dua anggota yang lengkap dengan peralatan tempur, menjadikannya sesuai sebagai kenderaan logistik ringan.
Pihak tentera Ukraine dilapor telah menempah 1,500 unit motosikal elektrik Wolfstorm, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan jentera ini dalam medan perang.
































