
Volkswagen memperkenalkan pakej aksesori terbaharu Good-Night yang dihasilkan khusus untuk van elektrik ID.Buzz di pasaran Eropah.
Pakej terbaharu ini menawarkan katil berkembar, fungsi V2L serta mod bermalam khusus untuk para penggemar yang mahu menghabiskan masa hujung minggu di luar rumah.
Katil berkembar ini datang siap dengan tilam yang boleh dilipat sepanjang 2 meter dan lebar 1.2 meter.
Ia dipasang di atas kerusi belakang yang dilipat, dan boleh disimpan kemas di ruang kargo apabila tidak digunakan.
Terdapat juga set penutup tingkap untuk tujuan privasi, serta jeriji pengudaraan pada tingkap sisi untuk memastikan aliran udara kekal bergerak sepanjang malam.
Tiada pakej awning disertakan, akan tetapi ia hadir dengan meja dan dua kerusi.
Mod ‘Overnight’ pula membolehkan sistem pendingin hawa beroperasi sehingga 48 jam untuk memastikan suhu kabin kekal stabil.
Akhir sekali, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 2 kW menerusi soket 230V, sesuai untuk mengecas peranti pintar dan basikal elektrik, serta digunakan untuk mesin kopi.
Pakej Good-Night ini ditawarkan pada semua ID.Buzz versi penumpang dengan harga jualan bermula dari €2,600 (RM12,144).



































