Utama Berita Automotif Proton e.MAS perluas rangkaian pengecasan untuk kondominium, kediaman bertingkat

Proton e.MAS perluas rangkaian pengecasan untuk kondominium, kediaman bertingkat

6

Proton e.MAS memperkukuh ekosistem mobiliti elektrik negara dengan memperluaskan rangkaian pengecasan ke kondominium dan kediaman bertingkat tinggi di seluruh Malaysia.

Langkah itu diambil bagi memudahkan pemilik EV, terutamanya di kawasan bandar.

Pendekatan dilaksanakan PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad dengan fokus kepada penyelesaian untuk pengguna EV yang menetap di kawasan kediaman bertingkat, khususnya isu akses kepada kemudahan pengecasan yang mudah, praktikal dan berpatutan.

Melalui aplikasi Proton e.MAS, pemilik kenderaan Proton e.MAS boleh menikmati kadar pengecasan khas kediaman bermula serendah RM0.63/kWh.

Tawaran eksklusif itu sah sehingga 31 Disember 2026 dan dapat membantu mengurangkan kos penggunaan harian pemilik EV.

Buat masa ini, rangkaian Proton e.MAS merangkumi lebih 1,500 titik pengecasan di lebih 500 kondominium dan pembangunan kediaman bertingkat di seluruh negara.

Ia sekali gus menjadikannya antara rangkaian pengecasan EV kediaman terbesar di Malaysia.

Liputan tersebut melibatkan kawasan utama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, selain sedang diperluaskan ke Sabah, Sarawak serta beberapa bandar utama lain.

Usaha itu juga dilihat mampu membantu penghuni kediaman bukan bertanah yang sebelum ini bergantung kepada pengecas awam luar atau tidak mempunyai akses kepada pengecas dinding peribadi.

Proton e.MAS turut mengintegrasikan fungsi pengecasan melalui satu aplikasi bagi memudahkan pengguna mencari lokasi pengecas, mengaktifkan sesi pengecasan dan membuat pembayaran tanpa perlu menggunakan beberapa aplikasi berbeza.

Pengguna hanya perlu membuka aplikasi Proton e.MAS, memilih lokasi pengecasan yang tersedia di kawasan kediaman masing-masing, memilih penyambung yang sesuai dan memulakan sesi pengecasan secara terus melalui telefon pintar.

Menurut PRO-NET, penggunaan EV juga berpotensi membantu pemilik mengurangkan lebih 30 peratus kos tenaga bulanan berbanding penggunaan kenderaan enjin pembakaran dalaman.

Proton e.MAS turut membuka peluang kepada pengguna dan penduduk untuk mendaftarkan minat bagi pembangunan infrastruktur pengecasan masa hadapan di kawasan kediaman masing-masing menerusi platform rasmi Proton e.MAS.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here