Utama Berita Automotif Polestar keluar daripada pasaran Amerika selepas model tahun 2027

Polestar keluar daripada pasaran Amerika selepas model tahun 2027

8

Salah satu jenama utama yang dimiliki oleh Geely, iaitu Polestar mengumumkan tidak lagi akan menjual kenderaan baharu di Amerika Syarikat selepas model tahun 2027. 

Menurut laporan, Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat menolak permohonan kelulusan yang diperlukan jenama EV itu untuk terus beroperasi. 

Di bawah peraturan baharu yang dikenali sebagai Connected Vehicle Rule, ia melarang kenderaan yang menggunakan perisian atau perkakasan buatan China atau Rusia dijual di pasaran tersebut atas alasan keselamatan negara. 

Antara kebimbangan utama ialah akses data dan kawalan jarak jauh — risiko sebuah kereta bersambung yang berada dalam “jangkauan” Beijing menghantar data pulang atau digodam dari luar.

Sekatan perisian bermula untuk tahun model 2027, manakala sekatan perkakasan menyusul pada 2030.

Pengeluar perlu mendapatkan kebenaran khas untuk menjual di AS. Polestar gagal mendapat kelulusan itu, tetapi jenama berkaitannya, Volvo yang juga dimiliki oleh Geely berjaya memperoleh pengecualian pada Mei.

Lincoln dan Buick turut perlu melalui proses sama kerana kedua‑duanya menjual model buatan China di AS iaitu Lincoln Nautilus dan Buick Envision.

Antara model yang terjejas ialah Polestar 3, satu-satunya model yang dibina di Amerika Syarikat sejak 2024. 

Unit tersebut bukan sahaja dipasang untuk pasaran tempatan, malah dieksport ke pasaran Eropah. 

Polestar akan terus menjual stok Polestar 3 dan 4 sedia ada kepada pihak yang berminat dan berjanji akan terus memberikan servis kepada pemilik sedia ada. 

Selain faktor yang berat sebelah, angka jualan Polestar itu sendiri membuatkan pengeluar itu tidak mahu mencabar keputusan kerajaan Amerika. 

Sepanjang suku pertama 2026, 94 peratus jualan Polestar datangnya daripada luar dan bukannya Amerika Syarikat. 

Jenama itu akan terus kekal di Eropah, melihatkan kepada momentum kukuh sepanjang tahun 2025 dan suku pertama 2026. 

Polestar akan turut menembusi beberapa pasaran baharu di Eropah tahun ini, serta melabur di pasaran yang mempunyai potensi pertumbuhan seperti Asia Tenggara, Eropah Timur, Amerika Latin dan Kanada. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here