
Xiaomi EV mencipta sejarah baharu dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomi apabila menjadi pengeluar pertama yang berjaya melengkapkan satu pusingan penuh secara autonomi (tanpa pemandu) di Nürburgring Nordschleife, Jerman.
Pencapaian itu direkodkan Xiaomi YU7 GT yang dilengkapi Track Package, dengan catatan masa 10 minit 29.483 saat di laluan sepanjang 20.8 kilometer tanpa sebarang campur tangan pemandu manusia.
Ujian tersebut dijalankan dan disahkan mengikut prosedur pemasaan rasmi Nürburgring. Susulan kejayaan itu, Nürburgring turut memperkenalkan kategori rasmi baharu iaitu Autonomous Driving di bawah kategori kenderaan elektrik.
Sepanjang cabaran tersebut, YU7 GT berjaya mengendalikan semua tugas pemanduan secara autonomi merentasi 73 selekoh, perubahan ketinggian sekitar 300 meter serta pelbagai keadaan permukaan jalan yang sentiasa berubah.
Nürburgring Nordschleife dianggap antara litar paling mencabar di dunia dengan gabungan seksyen berkelajuan tinggi, selekoh teknikal berturutan, tahap cengkaman yang sentiasa berubah dan margin kesilapan yang amat kecil.
Justeru, litar itu sering digunakan sebagai penanda aras bagi pembangunan dan pengesahan prestasi kenderaan.
Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan sistem pemanduan autonomi Xiaomi dalam keadaan operasi yang ekstrem, selain memperlihatkan potensi integrasi kecerdasan buatan (AI) dengan teknologi kawalan kenderaan moden.
Teknologi Pemanduan Autonomi Generasi Baharu
Sejak memperkenalkan Xiaomi HAD pada 2024, Xiaomi terus mempertingkatkan keupayaan pemanduan autonominya.
Pada Mac 2026, syarikat melancarkan platform kenderaan baharu yang dibangunkan berasaskan seni bina Xiaomi XLA bersama model asas MiMo-Embodied.
Gabungan tersebut membolehkan sistem memahami persekitaran yang lebih rumit, mentafsir keadaan trafik dan kenderaan dengan lebih tepat serta membuat keputusan secara lebih autonomi.
Sistem pemanduan autonomi Xiaomi menggunakan seni bina end-to-end bersama model dinamik kenderaan yang membolehkan pemantauan keadaan jalan dan kenderaan secara masa nyata.
Dalam keadaan berkelajuan tinggi, sistem akan menyelaraskan stereng, brek dan penghantaran kuasa secara berterusan bagi memastikan kestabilan optimum.
Menurut Xiaomi, projek Nürburgring itu turut membantu syarikat mengumpul data penting untuk memperhalusi model dinamik kenderaan, strategi kawalan dan sistem keselamatan berlapis pada masa depan.
Bukan Sekadar Rekod Autonomi
Menariknya, YU7 GT yang digunakan untuk mencatat rekod pemanduan autonomi itu juga merupakan antara SUV elektrik berprestasi paling pantas di Nürburgring.
Pada 2 April 2026, Xiaomi YU7 GT dengan Track Package mencatat masa pusingan Nürburgring Nordschleife sepantas 7 minit 22.755 saat, sekali gus memecahkan rekod SUV pengeluaran terdahulu dengan kelebihan 14 saat.
Model tersebut merupakan kenderaan produksi pertama yang dibangunkan dengan penglibatan mendalam pasukan teknikal Xiaomi EV Europe R&D Centre.
Selepas dua tahun proses talaan di Munich oleh jurutera yang mempunyai pengalaman dalam jenama prestasi terkenal dunia, YU7 GT berjaya membuktikan keupayaan Xiaomi dalam pembangunan kenderaan berprestasi tinggi.
Reka Bentuk Lebih Agresif
YU7 GT menerima pakej badan yang lebih agresif berbanding model standard, termasuk:
- Tayar belakang lebar 295mm
- Front splitter bersepadu
- Active rear diffuser
- Emblem gentian karbon bersadur emas 24K
- Penutup cermin sisi gentian karbon
- Rim tempa dua bahagian 21 inci (opsyen)
1,003PS dan Kelajuan Maksimum 300km/j
Di bawah badan YU7 GT tersimpan rangkaian kuasa yang menggunakan HyperEngine V8s EVO generasi terkini.
Antara spesifikasi utama sistem tersebut ialah:
- Kelajuan putaran maksimum 28,000rpm
- Kuasa maksimum motor 450kW
- Tork maksimum 540Nm
- Sistem dua-motor hadapan dan belakang
- Kuasa keseluruhan 1,003PS
- Pecutan 0-100km/j dalam 2.92 saat
- Kelajuan maksimum 300km/j
YU7 GT turut menggunakan modul kuasa silikon karbida (silicon carbide) yang dibangunkan sendiri oleh Xiaomi.
Sistem itu meningkatkan arus efektif kepada 800A dan menambah output kuasa sebanyak 13 peratus.
Motor tersebut juga menggunakan kepingan keluli silikon rotor setebal hanya 0.15mm, iaitu 57 peratus lebih nipis berbanding motor V8s terdahulu.
Kecekapan motor mencapai 98.35 peratus, manakala kecekapan CLTC meningkat 0.5 peratus berbanding generasi sebelumnya, bersamaan tambahan jarak pemanduan sekitar 6.4 kilometer.
Casis dan Sistem Brek Bertaraf Kereta Super
YU7 GT dilengkapi Xiaomi Smart Chassis 2.0 Master Edition yang menggabungkan pelbagai teknologi casis berprestasi tinggi, termasuk:
- Penyerap hentak CDC boleh laras dua-injap
- Suspensi udara dua-ruang
- Julat pelarasan ketinggian sehingga 75mm
- Electronic Limited-Slip Differential (eLSD)
Sistem eLSD itu mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan gandar belakang dalam tempoh milisaat bagi meningkatkan kestabilan dan kelajuan ketika mengambil selekoh.
Kuasa membrek pula dikendalikan oleh sistem brek karbon-seramik yang sama digunakan pada Xiaomi SU7 Ultra.
Spesifikasi sistem brek tersebut merangkumi:
- Angkup Akebono enam omboh di hadapan
- Angkup Akebono empat omboh di belakang
- Cakera brek karbon-seramik dengan suhu operasi sehingga 1,300°C
- Jarak membrek 100-0km/j hanya 32.9 meter
- Mampu melakukan 10 kali nyahpecutan penuh dari 180-0km/j tanpa brake fade
- Mampu melakukan dua kali nyahpecutan penuh dari 300-0km/j secara berturut-turut
Bateri 101.7kWj, Jarak Pemanduan 705km
Bagi penggunaan harian, YU7 GT menggunakan bateri litium-ion ternari berkapasiti 101.7kWj yang dipadankan dengan platform voltan ultra tinggi 897V serta seni bina pengecasan pantas 5.2C.
Kombinasi tersebut membolehkan SUV elektrik berprestasi tinggi itu menawarkan jarak pemanduan sehingga 705 kilometer mengikut kitaran CLTC.
Bagi meningkatkan kecekapan tenaga, Xiaomi turut melengkapkan YU7 GT dengan sistem nyahganding motor hadapan pintar yang boleh menambah sekitar 20 kilometer jarak perjalanan ketika mod Eco digunakan.
Ciri tersebut membantu mengimbangi prestasi tinggi dan keupayaan perjalanan jarak jauh dalam penggunaan harian.
Di China, Xiaomi YU7 GT ditawarkan pada harga bermula 389,900 yuan (RM237,000).
Kredit: Xiaomi









































