
Bersempena ulang tahun ke-50 Volkswagen Golf GTI, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (Volkswagen Malaysia) memperkenalkan penampilan lebih segar bagi model hot hatch ikonik itu menerusi rim eksklusif Huntsville Adamantium Dark, yang ditawarkan sebagai naik taraf percuma kepada 50 unit baharu Golf GTI.
Naik taraf istimewa itu diberikan tanpa sebarang kos tambahan, dengan harga runcit disyorkan untuk Golf GTI kekal RM255,990.
Tawaran berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada terma dan syarat.
Rim aloi bersaiz 18 inci itu hadir dengan kemasan gelap premium serta rekaan lima jejari berbentuk Y, memberikan penampilan lebih agresif dan moden.
Reka bentuk terbabit menyerlahkan angkup brek merah ikonik GTI, sekali gus memperkukuhkan identiti sporty yang sinonim dengan model berprestasi tinggi itu.

Pengenalan rim eksklusif ini adalah sebahagian daripada kempen global GTI 50, meraikan lima dekad sejarah Golf GTI sejak model pertama diperkenalkan di Jerman pada tahun 1976.
Sepanjang tempoh itu, Golf GTI membina reputasi sebagai antara hot hatch paling berpengaruh di dunia menerusi gabungan prestasi, pengendalian mengujakan dan praktikaliti untuk kegunaan harian.
Model ini bermula sebagai projek rahsia sekumpulan jurutera Volkswagen pada era 1970-an yang mahu menghasilkan sebuah Golf dengan prestasi lebih tinggi, sebelum berkembang menjadi satu nama paling dihormati dalam dunia automotif.
Bagi peminat di Malaysia, sambutan ulang tahun ke-50 ini memberi peluang untuk memiliki sebahagian daripada sejarah GTI menerusi penampilan lebih eksklusif, selain menikmati pelbagai aktiviti khas yang dirancang sepanjang tahun.
Volkswagen Malaysia turut memaklumkan pelbagai program bertemakan GTI akan dianjurkan di seluruh negara, termasuk peraduan di platform media sosial serta aktiviti khas di rangkaian pengedar sah Volkswagen.

Volkswagen Malaysia turut menganjurkan kempen Test Drive and Win, yang menawarkan peluang kepada pelanggan memenangi kad Touch ‘n Go GTI edisi terhad.
Untuk menyertainya, pelanggan hanya perlu memandu uji mana-mana model Volkswagen sebelum 12 Julai 2026.
Tempahan sesi pandu uji boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi Volkswagen Malaysia.
Bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai sambutan GTI 50, termasuk promosi dan aktiviti yang akan berlangsung sepanjang tahun, peminat juga boleh melayari laman web khas kempen yang disediakan oleh Volkswagen Malaysia.

































