Utama Berita Automotif Struktur Fasa 1 kilang pemasangan baharu Chery Lembah Beringin siap

Struktur Fasa 1 kilang pemasangan baharu Chery Lembah Beringin siap

9

Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery) melakar satu lagi pencapaian penting dalam pelan pengembangannya di Malaysia menerusi majlis penyiapan struktur atau topping-out Fasa 1 Chery Smart Auto Industrial Park di Lembah Beringin.

Pencapaian itu menandakan siapnya struktur utama kilang pemasangan baharu syarikat yang bakal menjadi kemudahan terbesar Chery di Malaysia, sekali gus memperkukuhkan komitmen jangka panjang pengeluar automotif itu terhadap industri automotif tempatan.

Taman perindustrian automotif pintar itu dibangunkan di atas kawasan seluas 80.9 hektar dengan nilai pelaburan RM2.2 bilion dan dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan operasi Chery di Malaysia serta rantau ASEAN.

Projek berkenaan mula diumumkan pada Februari tahun lalu menerusi majlis pecah tanah yang menandakan pelaburan strategik Chery di Beringin High-Tech Auto Valley di Hulu Selangor.

Ketika diumumkan, pelaburan RM2.2 bilion itu disifatkan sebagai antara pemangkin penting dalam memperkukuhkan ekosistem perindustrian Selangor serta mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab pelaburan serantau.

Momentum pertumbuhan syarikat di Malaysia dipacu permintaan kukuh terhadap portfolio pelbagai jenamanya yang merangkumi Chery, OMODA JAECOO, iCAUR serta jenama baharu, Lepas yang bakal diperkenalkan.

Perkembangan itu mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna dan pengiktirafan terhadap jenama-jenama di bawah kumpulan berkenaan.

Apabila siap kelak, kemudahan itu dijangka meningkatkan keupayaan Chery dalam aspek pemasangan kenderaan, inovasi serta penghantaran kepada pelanggan, selain menyokong strategi pelbagai jenama yang sedang dilaksanakan syarikat berkenaan.

Pengarah Kanan Strategi Produk dan Jualan Armada Chery Corporate Malaysia, Michael Chew berkata, majlis topping-out itu adalah satu pencapaian penting buat Chery di Malaysia.

“Ia bukan sahaja mencerminkan kemajuan projek ini, malah menunjukkan keyakinan kukuh kami terhadap pasaran Malaysia dan potensinya sebagai hab serantau,” katanya.

Majlis disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, yang turut menyaksikan pemasangan simbolik jubin bumbung terakhir bersama barisan pengurusan Chery.

Kehadiran Chery di Lembah Beringin membuka ruang kepada lebih banyak syarikat automotif antarabangsa untuk melabur di negeri itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here