Utama Berita Automotif Honda kongsi pengalaman pemilik e:HEV sempena Hari Malaysia

Honda kongsi pengalaman pemilik e:HEV sempena Hari Malaysia

4

Sempena sambutan Hari Malaysia, Honda Malaysia mengetengahkan pengalaman sebenar pemilik kenderaan hibrid e:HEV yang menggunakan teknologi itu dalam kehidupan seharian termasuk perjalanan ke tempat kerja, pemanduan jarak jauh dan aktiviti bersama keluarga.

Perkongsian pemilik model City e:HEV, Civic e:HEV RS dan CR-V e:HEV RS itu menonjolkan gabungan kecekapan bahan api, prestasi responsif serta keselesaan tanpa mengubah rutin pemanduan.

Bagi pemilik City e:HEV, Shangkari Kumaran, penggunaan model hibrid itu membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan daripada lebih RM200 kepada sekitar RM150, selain menawarkan pengalaman pemanduan lebih senyap dan stabil untuk perjalanan jarak jauh.

Beliau turut menghargai fungsi Honda CONNECT yang membolehkan pemantauan lokasi kenderaan secara langsung menerusi aplikasi mudah alih, terutama ketika meletakkan kenderaan di kawasan sesak.

Sementara itu, pemilik Civic e:HEV RS, Mohamad Sabri Hassan berkata model itu mampu menempuh jarak lebih jauh dengan satu tangki penuh berbanding kenderaan terdahulu, iaitu antara 720 hingga 800 kilometer, sekali gus memberi kelebihan untuk perjalanan jarak jauh.

Menurutnya, gabungan pecutan lancar dan responsif serta tahap kebisingan kabin yang rendah menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan, selain ciri bantuan pemandu Honda SENSING dan paparan meter digital meningkatkan keyakinan di lebuh raya.

Bagi Lionel Soon Pow Yik pula, CR-V e:HEV RS memenuhi keperluan keluarganya yang memerlukan ruang kabin luas tanpa mengorbankan kecekapan bahan api.

Beliau berkata, model SUV itu menawarkan keseimbangan antara prestasi, ekonomi dan praktikaliti, dengan ruang luas membolehkan anaknya membawa rakan serta lebih banyak barangan, manakala kuasa dan tork mencukupi memudahkan pemanduan di lebuh raya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, maklum balas pelanggan membuktikan teknologi e:HEV bukan sahaja menjimatkan bahan api, malah mengekalkan karakter pemanduan menyeronokkan yang memenuhi keperluan berbeza sama ada untuk penjimatan harian, prestasi responsif atau ruang praktikal untuk keluarga.

Katanya, sempena Hari Malaysia, Honda meraikan kisah di sebalik setiap perjalanan menghubungkan pengguna dengan keluarga, rakan serta pengalaman bermakna.

Honda Malaysia turut menawarkan jaminan bateri hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan bagi model e:HEV bagi memperkukuh keyakinan terhadap ketahanan dan kebolehpercayaan teknologinya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here