Utama Berita Automotif Rolls-Royce Phantom Hummingbird dedikasi khas suami untuk isteri

Rolls-Royce Phantom Hummingbird dedikasi khas suami untuk isteri

5

Rolls-Royce buat julung kalinya menggunakan seni hiasan cengkerang siput abalone pada sebuah kereta, menerusi tempahan khas Phantom Extended terbaharu yang menampilkan keindahan semula jadi cengkerang itu bagi menghasilkan motif burung kelicap.

Dikenali sebagai Phantom Hummingbird, tempahan eksklusif itu dihasilkan sebagai penghargaan peribadi kepada isteri seorang pelanggan dan diselia Private Office Dubai milik syarikat berkenaan.

Cengkerang abalone yang digabungkan dengan induk mutiara digunakan untuk menggambarkan burung kelicap pada dua meja picnic kenderaan itu serta corak tumbuhan pada panel belakang di antara tempat duduk belakang.

Setiap burung kelicap terdiri daripada 53 kepingan cengkerang abalone dan induk mutiara, manakala corak tumbuhan pula mengandungi 84 kepingan.

Menurut Rolls-Royce, penghasilan hiasan itu mengambil masa lebih sembilan bulan apabila barisan pekerjanya menggunakan teknik baharu untuk mengendalikan bahan yang sangat halus dan mudah pecah.

Sebanyak enam percubaan diperlukan sebelum kaedah yang sesuai berjaya dihasilkan.

Kepingan cengkerang dan induk mutiara itu dinipiskan sebelum dipasang dengan teliti pada lapisan kayu dan disalut lapisan pelindung bagi memastikan ketahanannya.

Setiap kepingan dipotong menggunakan laser dengan saiz sedikit lebih besar daripada saiz akhir sebelum dibentuk mengikut ukuran tepat secara manual.

Pekerja berkemahiran tinggi itu kemudiannya melicinkan setiap sisi sehingga ia bercantum dengan kepingan bersebelahan tanpa kesan sambungan yang ketara.

Setelah kepingan dipotong dan dipasang, setiap meja picnic dan panel belakang memerlukan tambahan lapan jam untuk disiapkan, menjadikan jumlah masa bagi ketiga-tiga panel itu sebanyak 45 jam.

“Alam semula jadi sentiasa menjadi sumber inspirasi utama untuk tempahan khas Rolls-Royce, yang menampilkan pelbagai bentuk dan warna luar biasa untuk diterjemahkan oleh pereka dan pekerja kami.

“Pelanggan kami sentiasa mengajak kami meneroka inspirasi itu dengan cara baharu dan berbeza, seperti yang ditunjukkan dengan jelas menerusi tempahan khas yang istimewa ini.

“Pengenalan cengkerang abalone dalam hiasan Rolls-Royce telah memberi cabaran kreatif dan teknikal baharu kepada pereka dan pekerja mahir kami, sekali gus menghasilkan penghargaan elegan kepada keunikan burung kelicap,” kata Ketua Bespoke Rolls-Royce Motor Cars, Phil Fabre de la Grange.

Bahagian luarannya menampilkan warna ungu gelap Wildberry pada bahagian bawah badan dan putih White Sands pada bahagian atas, dipisahkan dengan garisan badan White Sands yang dilukis tangan dan menampilkan motif burung kelicap.

Di bahagian dalaman, kemasan kayu Ash Burr menjadi latar kepada panel hiasan, dilengkapi perincian Silver Birch, kulit Creme Light dengan sentuhan warna Moccasin dan Tan, karpet Seashell serta siling berbintang Starlight Headliner.

Menurut Rolls-Royce, rekaan itu mendapat inspirasi daripada burung kelicap sebagai simbol kegembiraan, ketabahan dan keindahan dalam setiap detik kehidupan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here