
Sekumpulan samseng jalanan melarikan diri dengan meninggalkan motosikal di bawah jejambat selepas menyedari polis melaksanakan penutupan jalan di Lebuh Sentosa di Putrajaya pada Sabtu.
Operasi digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Unit Kereta Peronda Polis (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Balai Polis Presint 7.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata Operasi Bersepadu Samseng Jalanan dilaksanakan bermula jam 11 malam.
“Semasa penutupan jalan, sebanyak lima motosikal telah ditemukan ditinggalkan oleh penunggang di bawah jejambat Lebuh Wawasan sebelum kesemuanya dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.
“Hasil operasi sebanyak 14 kenderaan terdiri daripada 13 motosikal dan sebuah kereta telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, operasi turut mengeluarkan sebanyak 35 keping saman atas pelbagai kesalahan.
Katanya, operasi memberi tumpuan kepada pemeriksaan, rondaan dan pemantauan terhadap pengguna jalan raya serta kumpulan motosikal yang disyaki terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan lumba haram.
“Tindakan penguatkuasaan ini turut mengambil kira aduan masyarakat berkaitan gangguan bunyi bising dan aktiviti kumpulan motosikal (mat rempit) di sekitar Putrajaya,” ujarnya.
Tambahnya, selain aspek penguatkuasaan, operasi turut disusuli dengan pengisian kerohanian melalui solat Subuh secara berjemaah serta sesi advokasi berkaitan bahaya lumba haram dan samseng jalanan.







