
Stellantis Malaysia secara rasmi memulakan pemasangan tempatan atau CKD bagi dua model kenderaan elektrik Leapmotor iaitu C10 dan B10 di kilangnya di Gurun, Kedah.
Kedua-dua model kini sudah tersedia di semua pengedar sah Leapmotor di seluruh negara.
Langkah ini melibatkan pelaburan sekitar RM26.0 juta oleh Stellantis bagi membangunkan keupayaan pengeluaran tempatan, termasuk menaik taraf barisan pemasangan serta infrastruktur di kilang Gurun.

Stellantis dan Leapmotor turut menggunakan rangka kerja pematuhan global yang sama bagi memastikan piawaian pembuatan kekal konsisten untuk semua unit yang dipasang secara tempatan.
Leapmotor C10 CKD ditawarkan pada harga RM125,000, manakala Leapmotor B10 dijual pada RM118,800.
Kedua-dua model didatangkan dengan waranti bateri selama lapan tahun atau 160,000 km, mengikut mana yang terdahulu.
Bagi C10 versi CKD, dua pilihan warna luaran baharu diperkenalkan iaitu Violet dan Lightning White. Ia turut ditawarkan dalam warna sedia ada Canopy Grey dan Glazed Green.
Warna Glazed Green dipadankan dengan kemasan dalaman Camel Brown, sementara tiga pilihan warna lain menerima kabin berwarna hitam.
Ruang kabin C10 menggunakan material tekstil silikon yang diperakui OEKO-TEX® Standard 100 dengan penekanan kepada keselesaan dan kesejahteraan penumpang.

Dari segi sistem pacuan, C10 menggunakan bateri berkapasiti 69.9 kWj bersama motor elektrik segerak magnet kekal yang menghasilkan 218 kuasa kuda dan 320 Nm tork. Jarak pemanduan sehingga 424 km berdasarkan kitaran WLTP.
Leapmotor B10 pula diposisikan sebagai SUV elektrik segmen-C global strategik yang dibangunkan berasaskan seni bina LEAP3.5.
Untuk pasaran Malaysia, B10 ditawarkan dalam satu varian iaitu DESIGN. Ia menggunakan bateri berkapasiti 67.1 kWj dengan jarak pemanduan sehingga 434 km WLTP.
Empat pilihan warna luaran disediakan iaitu Starry Night Blue, Tundra Grey, Metallic Black dan Light White. Semua warna dipadankan dengan kemasan dalaman Dark Grey dan upholsteri yang mendapat pensijilan OEKO-TEX® Standard 100.
Leapmotor Malaysia turut menawarkan Remote Key Fob fizikal sebagai aksesori pilihan untuk model C10 dan B10. Aksesori tersebut boleh didapati untuk kenderaan baharu dan juga boleh dibeli oleh pemilik sedia ada di seluruh negara.
Di peringkat global, Leapmotor merekodkan 103,129 penghantaran kenderaan pada Ogos 2026, melepasi paras 100,000 unit buat kali pertama.

Jumlah itu meningkat 80.72 peratus tahun ke tahun dan merupakan bulan kelima berturut-turut jenama itu mencatat rekod penghantaran baharu.
Bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, jumlah penghantaran global Leapmotor mencecah 560,883 unit, peningkatan 70.55 peratus.
Prestasi itu meletakkan Leapmotor dalam kelompok empat jenama NEV penumpang terbesar di dunia dan tiga teratas dalam kalangan jenama dari China.




