
Mansory bukanlah satu nama yang terlintas di fikiran sekiranya anda mahukan sebuah pakej kereta peronda yang lengkap untuk tujuan kejar mengejar dan menangkap penjenayah.
Namun, lain pula ceritanya di Dubai di mana pasukan polis yang sangat terkenal dengan barisan supercar eksotik itu memilih Pugnator untuk dijadikan sebagai kereta peronda baharu.
Pugnator merupakan projek Mansory untuk Ferrari Purosangue dengan menampilkan kit badan agresif seperti bampar hadapan baharu lengkap dengan elemen aerodinamik.
Selain itu, terdapat juga fender flare yang diperbuat daripada gentian karbon, hud enjin berliang, serta sayap belakang yang menjadikan penampilan Purosangue ini lebih menyerlah atas jalan.
Akhir sekali, kereta peronda Purosangue ini dilayangkan dengan liveri standard pasukan Polis Dubai tanpa kehadiran bar lampu mata arah seperti kereta peronda kebanyakan.
Sama seperti barisan kereta eksotik Dubai Police, kemungkinan besar Mansory Pugnator ini akan muncul di acara-acara besar serta untuk tujuan promosi kempen pelancongan.
































