
Honda Malaysia mengumumkan dua lagi pemenang bagi bulan November yang membawa pulang Civic 1.5L RS dan CR-V 2.0L e:HEV RS sempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat.
Zulkeffli Abdul Rahman yang membawa pulang sedan segmen-C itu menyertai peraduan tersebut selepas membeli HR-V varian V sebagai kereta kedua keluarganya.
Beliau yang diwakili anaknya Nuramirah dan Nuratikah teruja dengan kemenangan tersebut dan ujarnya kegembiraan berganda buat mereka sekeluarga.

“Sebagai pemilik Honda sedia ada, saya percaya dengan tahap kebolehpercayaan dan keselamatan kereta ini serta penyelenggaraan yang mudah dengan adanya pusat servis bertauliah di mana sahaja.
“Saya sentiasa mempercayai jenama Honda, jadi ia menjadi pilihan utama apabila mencari kereta kedua. Kini, saya bukan sahaja miliki SUV baharu, malah sebuah Civic di laman rumah bersama-sama kereta City saya,” katanya.
Di samping itu, pemenang kedua Mohamad Farees Rahimi Ab Kadir yang membawa pulang CR-V tidak menjangka bakal bertuah membawa sebuah lagi kereta baharu.
“Menang CR-V e:HEV RS adalah di luar jangkaan saya. Sejujurnya, ia terasa seperti satu rahmat! Saya membeli City Hatchback RS kerana ia kompak, mudah dipandu, dan dilengkapi dengan pelbagai ciri praktikal.
“Saya memang bercadang untuk menaik taraf kepada sebuah SUV suatu hari nanti. Kini, saya ada pilihan untuk pandu kereta hatchback yang sporty atau menikmati pemanduan SUV premium bersama keluarga,” jelasnya yang berasal dari Johor.
Sebelum ini, Honda Malaysia telah mengumumkan dua pemenang pertama bagi model City Hatchback RS dan WR-V RS. Kini masih berbaki dua lagi hadiah utama sempena cabutan bertuah kempen “Because of You” Ulang Tahun Ke-25 Syarikat.




