
MForce Bike Holdings menyatakan telahpun menerima laporan berkaitan isu keretakan pada pemasangan peredam bunyi (muffler) QJMotor AX200S.
Susulan itu, pihak syarikat sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca masalah tersebut selain mempercepatkan penambahbaikan yang diperlukan.
Menerusi surat yang dikeluarkan dan dikongsi di Facebook, MForce akan menjalankan penggantian bagi semua unit yang terkesan.

“Program panggil balik yang menyeluruh akan dilaksanakan sebaik sahaja alat ganti yang telah dinaik taraf diterima daripada QJMOTOR.
“Dalam tempoh interim, mana-mana motosikal yang dikenalpasti mempunyai isu berkaitan hendaklah diproses di bawah prosedur tuntutan waranti sedia ada, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan.
Jelasnya lagi, pihak Mforce dengan kerjasama erat bersama QJMOTOR memandang serius isu tersebut dan kekal komited sepenuhnya untuk melaksanakan langkah pembaikan segera bagi menjamin kualiti produk, kepuasan pelanggan, dan piawaian keselamatan tertinggi.
Menurut kenyataan, kemas kini lanjut mengenai pelaksanaan panggil balik dan ketersediaan alat ganti akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.



