
Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula 1 mencipta sejarah sebagai pasukan pertama yang melengkapkan perjalanan jarak jauh ke lokasi perlumbaan F1 dengan menggunakan lori elektrik.
Lori elektrik yang digunakan ialah Mercedes-Benz eActros 600. Perjalanan ini merupakan satu langkah besar dalam usaha pasukan untuk mengurangkan jejak karbon dalam operasi logistik mereka.
Perjalanan Bersejarah ke Grand Prix Belanda 2025
Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 menggunakan lori eActros 600 untuk mengangkut jentera lumba W16 dari pangkalan mereka di Brackley, Northamptonshire, United Kingdom (UK), ke Zandvoort, Belanda.
Dengan jarak sejauh 673 kilometer (km), perjalanan ini membuktikan keupayaan lori elektrik untuk pengangkutan jarak jauh.
Berdasarkan data penggunaan tenaga, lori ini mampu menghabiskan perjalanan tersebut dengan sekali cas penuh.
eActros 600 menonjol di Grand Prix Belanda kerana sebahagian besar pengangkutan pasukan lain masih menggunakan enjin diesel.
Perjalanan ke Belanda ini susulan daripada perjalanan yang pertama sebelum ini ke Grand Prix British 2025 di Silverstone pada awal musim panas lalu.
Tiga lori eActros 600 digunakan untuk mengangkut semua jentera dan peralatan sokongan.
Inovasi Teknologi dan Kelestarian
Perjalanan bersejarah ini juga menyerlahkan komitmen pasukan untuk meluaskan sempadan kelestarian dalam logistik sukan permotoran.
Perjalanan ini disempurnakan dengan 100% tenaga boleh diperbaharui, hasil daripada pengecasan di hab pengecasan khusus Milence.
Komitmen ini selaras dengan matlamat pasukan untuk menjadi salah satu pasukan sukan profesional global paling lestari.
Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS sentiasa meneroka cara-cara baharu untuk mengaplikasikan teknologi hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Sejak tahun 2022, mereka telah mengambil inisiatif menggunakan HVO100, bahan api bio generasi kedua, untuk menguasakan lori dan penjana.
Usaha ini telah berjaya menjimatkan lebih daripada 500 tan pelepasan karbon semasa musim perlumbaan tahun lalu.
Keupayaan Mercedes-Benz eActros 600
Lori Mercedes-Benz eActros telah diiktiraf sebagai Lori Antarabangsa Terbaik 2025 berdasarkan keupayaannya yang cemerlang.
Ia menawarkan jarak operasi minimum 500 km dengan sekali cas penuh, menjadikannya peneraju di dalam segmen.
Lori ini dilengkapi dengan bateri litium-ion fosfat berkapasiti 600kWj.
Sistem pengecasan pantas megawatt (MCS) membolehkan bateri dicas dari 20% hingga 80% dalam hanya 25 minit.
Gabungan kapasiti bateri, pengecasan pantas dan kecekapan tinggi menjadikan eActros 600 kenderaan yang sesuai untuk industri yang memerlukan pergerakan pantas seperti Formula 1 dan seumpamanya.
Secara keseluruhan, pencapaian ini membuktikan bahawa era elektrifikasi dalam pengangkutan jarak jauh telah tiba dan kebimbangan mengenai jarak operasi tidak lagi menjadi isu yang menghalang.