
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan sedia mempertahankan diri mengikut saluran sewajarnya, susulan saman yang difailkan sebuah syarikat berhubung pembatalan sewa selama lima tahun empat helikopter Blackhawk UH-60A buatan Amerika Syarikat.
“Sesiapa pun boleh saman kerajaan dan kerajaan tentunya akan lawan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan berhubung pembatalan sewaan lima tahun melibatkan empat helikopter Blackhawk UH-60A.
Saman berkenaan difailkan melalui firma guaman Messrs Hafarizam, Wan Aisha & Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
GANTI RUGI RM17.5 JUTA, GANTI RUGI TAMBAHAN RM38.7 JUTA
FMT melaporkan Aerotree memohon perintah mahkamah memaksa kerajaan meneruskan perjanjian berkenaan berdasarkan surat setuju terima bertarikh 17 April 2023.
Sekiranya tidak, syarikat itu menuntut ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta, dan pampasan USD38.7 juta (RM297.3 juta). Ia juga menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.
Aerotree juga memohon supaya kerajaan dihalang daripada menggunakan jaminan bank RM1.87 juta, serta satu pengisytiharan bahawa penamatan pada 31 Oktober 2024 adalah tidak sah dan batal.
Dalam penyataan tuntutan setebal 31 muka surat itu, syarikat itu menyatakan kerajaan telah bersetuju untuk menyewa empat helikopter bernilai RM187.5 juta di bawah inisiatif pembiayaan swasta, dengan syarikat tersebut akan memiliki, mengendalikan, dan menyelenggara pesawat berkenaan.
Di bawah perjanjian itu, dua helikopter sepatutnya dihantar dalam tempoh enam bulan selepas surat setuju terima, manakala dua lagi dalam tempoh sembilan bulan. Aerotree juga telah menyediakan bon pelaksanaan RM1.87 juta, yang dijamin Perwira Affin Bank.
Syarikat itu berkata, ia menandatangani perjanjian dengan Havelsan dari Turki bagi latihan simulator untuk 14 juruterbang tentera darat dan akademi latihan dari Slovakia untuk membeli serta menaik taraf helikopter berkenaan.
Namun, penghantaran tertangguh kerana pengubahsuaian teknikal, keperluan latihan juruterbang, serta gangguan rantaian bekalan akibat perang Russia-Ukraine.
Pihak syarikat telah memohon tiga kali lanjutan sehingga 30 Oktober 2024, namun masih tertakluk kepada penalti kelewatan penghantaran.
Syarikat itu juga mendakwa kementerian gagal membantu mendapatkan pinjaman daripada SME Bank, yang ketika itu sedang melalui penyusunan semula lembaga pengarah. Katanya, pertukaran menteri pertahanan turut menangguhkan urusan dokumen.
SURAT PEMBATALAN PADA 31 OKTOBER 2024
Pada 31 Oktober 2024, Aerotree menerima surat penamatan kerana gagal menyerahkan helikopter tersebut.
Ia berkata, tindakan itu tidak adil sambil berhujah bahawa helikopter berkenaan telah pun didaftarkan dengan Jabatan Negara Amerika dan sedang menunggu kelulusan eksport di bawah Peraturan Trafik Antarabangsa dalam Senjata.
Syarikat itu berhujah, penalti sepatutnya dikenakan, bukannya pembatalan, selain mendakwa penamatan dibuat melanggar terma surat setuju terima yang menghendaki rundingan dibuat terlebih dahulu.
Aerotree juga mendakwa, dokumen pembiayaan utama iaitu surat ikatan kemudahan dikemukakan kepada bahagian perundangan kementerian pada Jun 2024, namun tiada tindakan diambil.
Syarikat berkenaan mendakwa, kerajaan kemudiannya telah merampas bon pelaksanaan RM1.87 juta dan mengabaikan surat rayuan dihantar pada Disember 2024.
Ia berkata tindakan itu menjejaskan reputasinya dan mendedahkannya kepada tindakan undang-undang daripada pembekalnya di Slovakia.
Ia juga menyatakan bahawa kementerian mengeluarkan tender baharu bagi penyewaan helikopter pada 4 Ogos 2025, bernilai RM185.2 juta, yang akan ditutup pada 23 September.
Walaupun Aerotree layak untuk memohon semula, katanya, tiada jaminan kejayaan dan ia memberi amaran mengenai kemungkinan halangan yang sama berulang.
Dengan kelulusan eksport kini telah diperoleh, Aerotree berkata penamatan itu dilakukan dengan niat tidak baik, yang menyebabkan kerugian kewangan dan reputasi yang besar.
Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 23 Oktober.