
Aerotree Defence and Services Sdn Bhd berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, untuk mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang kerajaan daripada menggunakan wang jaminan bank sebanyak RM1.87 juta.
Ia berhubung kes saman RM353 juta bagi sewaan empat helikopter Blackhawk buatan Amerika Syarikat (AS) yang dibatalkan pada Oktober 2024 terhadap kerajaan, Kementerian Pertahanan dan ketua setiausahanya sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Hakim, Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Aerotree dan berpuas hati bahawa Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 tidak menghalang perintah interim sementara diberikan kepada syarikat itu selaku plaintif.
“Kes ini harus diputuskan berdasarkan fakta dan merit, selain saya berpandukan kepada keputusan Mahkamah Rayuan dan Persekutuan ketika mencapai keputusannya.
“Justeru saya berpuas hati bahawa ‘relief’ sedemikian boleh diberikan,” kata hakim yang menambah pengurusan kes bagi arahan pemfailan dokumen pra-perbicaraan pada 27 Januari tahun depan.
Dalam prosiding itu, syarikat tempatan berkenaan diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Luqman Hakeem Abas dan Norhazira Abu Haiyan sementara semua defendan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar.
Pada 19 September lalu, Aerotree memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung pembatalan sewaan semua helikopter Blackhawk UH-60A buatan AS selama lima tahun.
Saman difailkan melalui firma guaman Messrs Hafarizam, Wan Aisha & Mubarak dan memohon perintah mahkamah untuk memaksa kerajaan meneruskan perjanjian berkenaan berdasarkan surat setuju terima bertarikh 17 April 2023.
Sekiranya enggan, syarikat itu menuntut ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta, dan pampasan USD38.7 juta (RM297.3 juta) termasuk ganti rugi am, teladan serta teruk.
Aerotree juga memohon supaya kerajaan dihalang daripada menggunakan jaminan bank RM1.87 juta, serta satu pengisytiharan bahawa penamatan pada 31 Oktober 2024 sebagai batal dan tidak sah.
Berdasarkan penyataan tuntutan setebal 31 muka surat, syarikat itu menyatakan kerajaan telah bersetuju untuk menyewa empat helikopter bernilai RM187.5 juta di bawah inisiatif pembiayaan swasta, dengan syarikat tersebut akan memiliki, mengendalikan dan menyelenggara pesawat berkenaan.
Di bawah perjanjian terbabit, dua helikopter sepatutnya dihantar kepada defendan dalam tempoh enam bulan selepas surat setuju terima, manakala dua lagi dalam tempoh sembilan bulan.
Aerotree juga telah menyediakan bon pelaksanaan RM1.87 juta, yang dijamin sebuah bank tempatan.
Syarikat itu berkata, ia telah menandatangani perjanjian dengan sebuah perusahaan teknologi pertahanan dari Turkiye, Havelsan bagi latihan simulator untuk 14 juruterbang tentera darat dengan akademi latihan dari Slovakia untuk membeli serta menaik taraf helikopter berkenaan.
Bagaimanapun katanya, penghantaran tertangguh kerana pengubahsuaian teknikal, keperluan latihan juruterbang, serta gangguan rantaian bekalan akibat perang Rusia-Ukraine.



























