YANGWANG U9 Xtreme catat rekod kereta produksi paling laju – 496.22 km/j!

11

YANGWANG, sub-jenama mewah BYD, mencatat sejarah baharu sebagai kereta produksi paling laju di dunia.

Model U9 Xtreme (U9X) berjaya merekodkan kelajuan 496.22 kilometer sejam (km/j) di litar ujian ATP Automotive Testing Papenburg, Jerman pada 14 September 2025.

Pencapaian ini mengatasi rekod EV sebelumnya dan juga rekod petrol terdahulu iaitu 490.484 km/j, menjadikan U9X sebagai kereta produksi terpantas di dunia.

Seperti rekod terdahulu, U9X dipandu oleh Marc Basseng, pelumba Jerman yang berpengalaman luas dalam perlumbaan.

Rekod Sebelum Ini: U9 Track Edition

Pada 8 Ogos 2025, YANGWANG dengan model U9 Track Edition telah mencatatkan rekod dunia EV dengan kelajuan maksimum 472.41 km/j di lokasi sama.

Ketika itu, U9 Track Edition menjadi kereta elektrik paling laju di dunia.

Kini, rekod tersebut sudah dipintas oleh model produksi rasmi U9 Xtreme, sekali gus meletakkan YANGWANG di puncak carta kelajuan automotif dunia.

Evolusi dari U9 ke U9X

Model baharu ini pada asalnya dikenali sebagai U9 Track/Special Edition dan kini dikenali secara rasmi sebagai versi produksi dengan nama U9 Xtreme (U9X).

U9X menggunakan asas teknikal U9 yang dijual di China tetapi dengan beberapa penambahan:

  • Sistem kuasa 1200V ultra-high-voltage (berbanding 800V biasa).
  • Bateri Blade LFP dengan kadar nyahcas 30C.
  • Empat motor elektrik berkelajuan tinggi (30,000 rpm) dengan jumlah kuasa lebih 3,000 ps.
  • Tayar semi-slick gred litar.
  • Suspensi DiSus-X yang ditala semula untuk menahan tekanan pemanduan kelajuan ekstrem.

Model Terhad

U9 Xtreme akan dikeluarkan dalam jumlah terhad 30 unit sahaja. Nama “Xtreme” diambil daripada perkataan Extreme yang membawa maksud had (limit) dan mutlak (ultimate), manakala huruf “X” mewakili yang tidak diketahui.

YANGWANG menjelaskan falsafah ini seiring dengan semangat meneroka dunia automotif melalui inovasi.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here