
Ducati terus mengembangkan portfolio off-road mereka menerusi pelancaran Ducati Desmo250 MX 2027, iaitu model motocross kedua selepas pengenalan Desmo450 MX pada tahun lalu.
Seperti Desmo450 MX, model baharu itu dibangunkan berasaskan pengalaman perlumbaan dan menggunakan sistem injap desmodromic, teknologi yang menjadi identiti Ducati sejak sekian lama.
Ducati kini memiliki dua enjin silinder tunggal berkapasiti bawah 500cc dalam portfolio mereka.
Menarik untuk melihat sama ada pengeluar Itali itu mempunyai perancangan lain untuk platform enjin tersebut pada masa hadapan.
Desmo250 MX dibangunkan dalam saingan Italian Prestige MX2 Championship bersama pelumba Alessandro Lupino.
Tumpuan diberikan terhadap tiga aspek utama iaitu ketepatan kawalan, kestabilan dan kebolehpercayaan dalam kategori motocross yang sangat kompetitif.
Enjin desmodromic baharu, 250cc!
Nadi Desmo250 MX ialah enjin silinder tunggal serba baharu berkapasiti 249.7cc yang dibangunkan sepenuhnya oleh Ducati.
Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 44.5hp pada 12,500rpm dan tork puncak 28.3Nm pada 8,800rpm, dengan berat hanya 24.7kg.
Menurut Ducati, enjin tersebut dibangunkan menggunakan pengalaman daripada superbike Panigale V4 R dan berkongsi dimensi gerek dan lejang yang sama iaitu 81mm x 48.4mm.
Antara fokus utama pembangunan enjin ialah menghasilkan lengkung tork yang konsisten pada semua julat rpm, selain memastikan tindak balas pantas pada rpm rendah dan kuasa berterusan pada rpm tinggi.
Ciri utama enjin:
- Sistem injap desmodromic Ducati
- Injap kemasukan titanium
- Injap ekzos keluli
- Mampu beroperasi sehingga 15,000rpm
- Badan pendikit Mikuni 44mm
- Sistem ekzos serba baharu
- Transmisi 5-kelajuan
- Quickshifter naik gear (upshift)
- Klac hidraulik Brembo dengan 7 plat klac
Menurut Ducati, kemampuan mencapai 15,000rpm membolehkan penunggang mengekalkan setiap gear lebih lama sebelum menukar gear, sekali gus memberikan kelebihan ketika pecutan, keluar selekoh dan situasi over-rev dalam perlumbaan.
Casis berasaskan Desmo450 MX
Bahagian casis pula menggunakan rangka perimeter aluminium yang diambil daripada Desmo450 MX bersama lengan ayunaluminium.
Jurutera Ducati turut mengoptimumkan tahap kekakuan (stiffness) casis bagi memberikan maklum balas tunggangan yang lebih tepat terutama ketika membrek dan mengambil selekoh.
Sistem suspensi terdiri daripada:
- Fork terbalik (upside-down) Showa 49mm
- Larasan penuh
- Pergerakan/Jarak suspensi hadapan 310mm
- Salutan Kashima pada kaki fork
- Penyerap hentak belakang Showa (monoshock)
- Pergerakan roda belakang 301mm
Keseluruhan talaan suspensi dibangunkan khusus untuk Desmo250 MX bagi mengurangkan pemindahan beban ketika membrek, memecut dan mengambil selekoh.
Ducati turut mendakwa motosikal itu mempunyai berat hanya 103kg (tanpa bahan api), sekali gus membantu meningkatkan kelincahan di pelbagai jenis litar motocross.
Tayar Pirelli dan brek Brembo
Desmo250 MX dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion MX32 Mid-Soft bersaiz 80/100-21 inci di hadapan dan 100/90-19 inci di belakang.
Saiz tayar belakang yang lebih kompak membantu meningkatkan kecekapan ketika menukar arah dan memasuki selekoh.
Sistem brek pula menggunakan komponen yang sama seperti Desmo450 MX, terdiri daripada angkup brek Brembo serta cakera Galfer 260mm di hadapan dan 240mm di belakang.
Ducati Traction Control paling canggih dalam kelasnya
Antara keistimewaan terbesar Desmo250 MX ialah pakej elektronik yang diambil terus daripada Desmo450 MX dan ditala semula untuk karakter enjin 250cc.
Ciri elektronik yang ditawarkan termasuk:
- 2 mod kuasa (Power Modes)
- 2 mod tunggangan (Riding Modes)
- Ducati Traction Control (DTC)
- Power Launch
- Quickshifter
- Engine Brake Control
Menerusi aplikasi aksesori X-Link, penunggang boleh mengubah pelbagai tetapan termasuk:
- Respons pendikit
- DTC dengan 3 tahap intervensi
- Kawalan brek enjin dengan 2 tahap
- Launch Control dengan 3 tahap
Menurut Ducati, sistem Ducati Traction Control (DTC) pada Desmo250 MX berbeza daripada sistem biasa dalam segmennya.
Ia mengira pengurangan kuasa berdasarkan tahap gelinciran sebenar roda belakang, sekali gus membolehkan campur tangan yang lebih cepat, lancar dan tepat.
Teknologi Predictive Maintenance
Satu lagi ciri menarik ialah sistem Predictive Maintenance yang dibangunkan menggunakan pengalaman Ducati Corse dalam MotoGP dan World Superbike.
Sistem itu menggunakan algoritma khas untuk mengira tahap tekanan (stress index) enjin secara masa nyata berdasarkan parameter operasi dan cara motosikal digunakan.
Maklumat tersebut boleh dipantau menerusi aplikasi X-Link dan digunakan untuk menentukan jadual penyelenggaraan yang lebih tepat berdasarkan penggunaan sebenar.
Jadual servis dibahagikan kepada dua kategori:
MID Service
- Pemeriksaan kelegaan injap selepas 45 jam
- Penggantian omboh antara 45 hingga 60 jam, bergantung kepada tahap tekanan enjin
FULL Service
- Overhaul penuh enjin
- Dilaksanakan antara 90 hingga 120 jam penggunaan bergantung kepada keadaan litar dan gaya tunggangan
Aksesori Ducati Performance
Ducati turut menawarkan pelbagai aksesori melalui katalog Ducati Performance untuk menghasilkan replika jentera perlumbaan Desmo250 MX yang digunakan Simone Mancini dalam saingan MXGP Eropah.
Antara aksesori yang ditawarkan:
- Triple clamp CNC
- Sistem ekzos penuh
- Peredam ekzos titanium Akrapovič
- Angkup brek Brembo Racing
- Suspensi Showa Kit A
Ducati turut menyediakan koleksi pakaian teknikal hasil kerjasama dengan Drudi Performance yang merangkumi kelengkapan Alpinestars, topi keledar Arai dan pakaian Spidi.
Ditawarkan di Eropah pada Julai, pasaran lain menyusul
Ducati Desmo250 MX akan mula dijual di beberapa pengedar terpilih Eropah bermula Julai 2026, sebelum memasuki pasaran Amerika Utara pada Ogos 2026 dan seterusnya diperkenalkan ke pasaran global lain.
Ringkasan Spesifikasi Ducati Desmo250 MX 2027
- Enjin: 249.7cc, silinder tunggal desmodromic
- Kuasa: 44.5hp @ 12,500rpm
- Tork: 28.3Nm @ 8,800rpm
- Transmisi: 5-kelajuan
- Berat: 103kg (tanpa bahan api)
- Fork: Showa USD 49mm, 310mm
- Monoshock: Showa, 301mm
- Brek hadapan: Brembo + cakera Galfer 260mm
- Brek belakang: Brembo + cakera Galfer 240mm
- Tayar: Pirelli Scorpion MX32 Mid-Soft
- Elektronik: DTC, Power Launch, Quickshifter, Engine Brake Control
- Warna: Ducati Red









































